Jumaat, 28 Ogos 2015 | 9:47pm

Pemimpin lama, baharu perlu berganding bangkitkan UMNO Terengganu - Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu di majlis merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri Tertutup, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu di majlis merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri Tertutup, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA TERENGGANU: Gandingan pemimpin lama dan baharu dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu harus menjadi contoh bagi kebangkitan semula UMNO negeri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Beliau berkata, semangat Gelombang Biru Baharu yang kembali bangkit di Terengganu membuktikan pemimpin baharu boleh bekerjasama dengan pemimpin lama dengan sikap penuh keterbukaan.

"Yang baharu hormati yang lama, yang lama hormati yang baharu. Tok Yeh (Datuk Seri Idris Jusoh dan Razif (Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman), ini ganding lama dan baharu yang bangkitkan Gelombang Biru Baharu di seluruh Terengganu," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO; dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Saberi Alwi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau yakin jika kerjasama itu terus kekal bersama-sama pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, tidak mustahil UMNO Terengganu kembali bangkit pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Untuk merealisasikan matlamat itu, katanya, pemimpin atasan perlu turun padang mendekati pemimpin akar umbi tanpa memilih musim tertentu semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan kemenangan undi.

Ahmad Zahid menggambarkan semangat dalam UMNO sebenarnya indah jika pemimpin yang telah diberi amanah mempunyai kesabaran dalam diri untuk menempuh apa juga cabaran dan rintangan sama ada dari dalam mahupun luar parti.

Beliau juga meminta pemimpin UMNO supaya kembali kepada asas perjuangan parti untuk memastikan kelangsungan parti itu.

Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinannya bahawa kepimpinan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar mampu membawa UMNO merampas kembali beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri yang kini disandang pembangkang.

"Saya yakin UMNO Kuala Terengganu boleh mendapat kembali sekurang-kurangnya tiga kerusi DUN kerana saya tahu kemampuan UMNO Terengganu," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X