Jumaat, 30 Januari 2015 | 5:23pm

Samy Vellu sedia jadi orang tengah selesai kemelut MIC

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat buku persidangan bersama Pengerusi Persidangan, Datuk Seri S Samy Vellu sempena Majlis Persidangan Antarabangsa Pengajian Tamil Ke-9 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Yazit Razali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat buku persidangan bersama Pengerusi Persidangan, Datuk Seri S Samy Vellu sempena Majlis Persidangan Antarabangsa Pengajian Tamil Ke-9 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu bersedia untuk menjadi 'orang tengah' bagi membantu menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu sejak Disember lepas.

Samy Vellu yang kini Duta Khas Infrastruktur negara ke India dan Asia Selatan, berkata beliau hanya akan bertindak demikian jika diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

Beliau berkata, sebagai hanya anggota biasa MIC, adalah kurang sesuai untuk dirinya mengulas lanjut mengenai konflik yang melanda parti itu.

"Sebagai bekas presiden kalau saya cakap pasal mereka ia akan menjadi isu besar, jadi berdiam diri lebih baik, biar mereka uruskan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Tamil ke-9 oleh Najib di Universiti Malaya hari ini.

Persidangan empat hari bermula semalam yang dirasmikan oleh Najib itu menghimpunkan sarjana dan pakar bahasa dan sastera Tamil untuk berkongsi pendapat bagi memperkasakan bahasa itu.

Samy Vellu berkata, biarlah Perdana Menteri meneliti masalah MIC dan jika beliau kata "Samy Vellu panggil (pemimpin) parti dan bincangkan, dengan itu baru saya boleh bincangkan."

Beliau yang juga berharap dengan campur tangan Perdana Menteri, ia dapat menyelesaikan kemelut parti itu, dan seterusnya menyelamatkan anggota parti yang memperjuangkan nasib kaum India itu daripada berpecah-belah.

Samy Vellu yang menerajui MIC selama 31 tahun sejak 1981 turut menasihatkan barisan kepimpinan parti itu supaya sentiasa memberi keutamaan kepada parti dan komuniti masyarakat India melebihi kepentingan diri sendiri.

Perbezaan pendapat timbul dalam MIC selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada 5 Disember lepas mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat dalam tempoh 90 hari.

Arahan itu susulan dakwaan wujud perkara yang melanggar peraturan dalam pemilihan pada mesyuarat agung MIC ke-68 di Melaka pada 30 November 2013.

Menyentuh mengenai persidangan itu, Samy Vellu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur berkata persidangan itu dijangka dapat memberi impak positif terhadap perkembangan bahasa dan sastera Tamil di negara ini dan seluruh dunia.

"Dengan sokongan Perdana Menteri tunjukkan hari ini, saya yakin persidangan ini bakal memberi nafas baharu kepada sekolah-sekolah dan pelajar Tamil di Malaysia," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X