Selasa, 27 Januari 2015 | 8:20pm

Samy Vellu gesa Palanivel selamatkan MIC

KUALA LUMPUR: Datuk Seri S. Samy Vellu menyuarakan kebimbangan beliau tentang perbalahan sengit yang sedang melanda MIC dan menggesa presidennya Datuk Seri G. Palanivel menyelamatkan parti itu.

"Saya berdoa ... dan meminta beliau, tolonglah selamatkan MIC," kata bekas presiden MIC itu di luar Sidang Kemuncak Pelaburan Nepal 2015 di Bangsar di sini hari ini.

Samy Vellu, yang kini duta khas Malaysia di India dan Asia Selatan mengenai infrastruktur, berkata perpecahan dalam MIC boleh melemahkan dan memberi kesan buruk terhadap parti yang mewakili masyarakat India di negara ini.

Beliau menyeru Palanivel supaya berbincang dengan anggota MIC, termasuk mereka yang mengkritik beliau, sebagai langkah untuk menyelamatkan parti itu.

Katanya tindakan anggota parti mengkritik pemimpin mereka adalah perkara biasa dan dalam hal ini, Palanivel perlu sentiasa membuka ruang untuk berkomunikasi dengan mereka.

Perbezaan pendapat timbul dalam MIC selepas Pendaftar Pertubuhan mengeluar arahan pada 5 Disember tahun lepas agar parti itu mengadakan semula pemilihan bagi tiga kerusi naib presiden dan 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam masa 90 hari berikutan terdapat perkara yang melanggar peraturan dalam pemilihan pada mesyuarat agung MIC ke-68 di Melaka pada 30 November 2013.

Samy Vellu berkata, sebagai presiden, Palanivel perlu menghormati orang yang bersama beliau.

"Berdasarkan apa yang berlaku, tiada seorang pun yang peduli tentang parti. Mereka hanya pedulikan diri sendiri," katanya.

Samy Vellu, yang menerajui MIC selama 29 tahun, berkata walaupun wujud percakaran dalam kalangan kumpulan tertentu dalam parti itu dan perbalahan antara presiden dan timbalan presidennya (Datuk Seri Dr S. Subramaniam), masanya sudah tiba bagi semua anggota MIC untuk duduk bersama dan berbincang "apa yang patut dilakukan untuk menguatkan kembali parti".

Kata Samy Vellu, ketika beliau menjadi presiden MIC, "banyak orang menentang saya dan mereka mengadakan banyak sidang akhbar dan menganjurkan perjumpaan untuk mengkritik dan menyerang saya". - BERNAMA

Berita Harian X