Khamis, 4 September 2014 | 9:35pm
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Fail NSTP/Yazit Razali
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Fail NSTP/Yazit Razali

Krisis Selangor: PKR akan kemuka surat maklum balas dalam 48 jam

PETALING JAYA: PKR akan mengemukakan surat maklum balas dalam tempoh 48 jam kepada Istana berhubung senarai calon Menteri Besar Selangor.

Difahamkan, PKR akan mengemukakan lebih dua nama kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai memenuhi titah baginda Tuanku biarpun sebelum ini tegas mahukan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai calon tunggal.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui wartawan di hadapan pejabat parti itu, di sini turut menyatakan akan mengambil langkah perlu dan berpatutan sebagai reaksi balas kepada permintaan istana itu.

Beliau yang baru selesai menghadiri mesyuarat Biro Politik turut mengesahkan membincangkan mengenai keputusan PAS mempersembahkan tiga nama kepada baginda Tuanku, calon Menteri Besar baharu.

"Kami bincangkan beberapa senario, pertama PAS hantar wakil (nama calon Menteri Besar) dari parti itu. Kedua (Setiausaha Agung PAS) Datuk Mustafa (Ali) kata hantar dua nama PKR dan satu PAS. Kami bincang semua senario ini sebab dua nama dari PKR kami pun tidak tahu siapa.

"Kita akan ambil langkah yang bersesuaian dan berpatutan (mengenai perkembangan itu). Dalam tempoh 48 jam juga kami akan beri maklum balas kepada Istana," katanya di sini.

Beliau juga menegaskan kedudukan parti itu masih kekal iaitu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Selangor memberi sokongan kepada Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar seperti mana akuan bersumpah yang ditandatanganinya pada 14 Ogos lalu.

Berita Harian X