Isnin, 25 Ogos 2014 | 1:29pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. - Foto Yazit Razali
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. - Foto Yazit Razali

Krisis Selangor: PAS Pusat setuju serah kepada perkenan dan kebijaksanaan Sultan

KUALA LUMPUR: PAS Pusat bersetuju untuk menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam menentukan jawatan Menteri Besar negeri itu.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung hampir tiga jam di Ibu Pejabat PAS Pusat di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Mustafa berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) di Selangor tidak perlu menandatangani surat akuan bersumpah untuk menyatakan sokongan kepada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Perkara itu tidak berbangkit dalam mesyuarat tadi. Jika ia tidak berbangkit maknanya tiada keperluan untuk berbuat demikian (tandatangan surat akuan bersumpah)," katanya.

Kenyataan itu sekali gus mencetuskan teka-teki berhubung pendirian mereka sama ada mahu menyokong Wan Azizah atau kekal dengan keputusan mesyuarat minggu lalu yang menetapkan dua nama iaitu Timbalan Presiden, Azmin Ali dan Presiden PKR itu untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Pendirian PAS yang masih belum jelas itu memanjangkan lagi kemelut dalam pakatan pembangkang ketika 13 ADUN yang masih setia kepada kepimpinan parti didakwa enggan menandatangani surat sokongan secara rasmi untuk dikemukakan kepada istana.

Berita Harian X