Ahad, 17 Ogos 2014 | 12:39pm

PAS tarik balik sokongan pada Khalid, cadangkan Wan Azizah, Azmin

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menarik balik sokongannya kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti yang diputuskan Dewan Ulama parti itu sebelum ini dan mencadangkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu untuk pertimbangan kepemimpinan Pakatan Rakyat.

Keputusan mencadangkan Presiden dan Timbalan Presiden PKR itu dibuat Jawatankuasa Pimpinan PAS Pusat dalam mesyuarat lebih sejam yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Ibu PeJabat parti itu di sini, hari ini.

Namun, jawatankuasa itu memutuskan supaya empat EXCO PAS Selangor kekal dan meneruskan tanggungjawab masing-masing dalam pentadbiran negeri yang masih diterajui Abdul Khalid selepas pemecatan lima EXCO PKR dan DAP dan peletakan jawatan seorang lagi EXCO PKR.

Bagaimanapun, PAS tidak menyatakan kenapa Mohamed Azmin dicalonkan sedangkan PKR dan DAP mahukan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Ditanya kenapa keputusan jawatan kuasa itu bertentangan dengan penetapan Dewan Ulama PAS, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, pada sidang media selepas mesyuarat itu, berkata Abdul Khalid yang dipecat keahlian oleh PKR tidak lagi relevan.

Pemimpin parti itu juga enggan menjawab, sebaliknya terus berdolak dalih ketika diminta menyatakan pendirian sama ada menolak pilihan PKR supaya Wan Azizah dilantik Menteri Besar baharu menggantikan Abdul Khalid.

Sidang media itu turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PAS, Salehudin Ayub serta Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mohamad juga menegaskan parti itu tidak akan keluar daripada pakatan PKR-DAP-PAS dan mengulangi pendirian bahawa ia tidak akan menuntut kerusi Menteri Besar itu.

PKR sehingga kini tetap mahu Dr Wan Azizah dipilih sebagai calon Menteri Besar bagi menggantikan Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang.

Cadangan itu mendapat sokongan sekutunya, DAP, namun beberapa pemimpin PAS secara terbuka sebelum ini membuat ketetapan berbeza menolak Wan Azizah, antara lain disebabkan faktor kepemimpinan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Wan Azizah yang juga ADUN Kajang, sebelum ini mengumumkan beliau sudah mendapat sokongan 30 daripada 56 ADUN di Selangor, termasuk dua ADUN PAS.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sudah menitahkan Abdul Khalid supaya tidak membuat kenyataan atau keputusan mengenai kemelut politik di negeri itu sehingga baginda kembali pada 27 Ogos depan.

Berita Harian X