Ahad, 2 Jun 2024 | 1:19pm
Tengku Mahkota Pahang pada Program Jom Masuk U (JMU) 2024 Zon Timur II di Kuantan. Foto ihsan UMPSA
Tengku Mahkota Pahang pada Program Jom Masuk U (JMU) 2024 Zon Timur II di Kuantan. Foto ihsan UMPSA

Beri tumpuan perkasakan TVET - Tengku Hassanal

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah kepentingan dan pemerkasaan program Pendidikan Dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diberikan tumpuan khusus.

Baginda yang juga Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), bertitah TVET dan perkembangan kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

Titah baginda, TVET menyediakan peluang buat pelajar memperoleh kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kadar pengangguran serta menghasilkan graduan yang bergaji premium.

"Pemerkasaan TVET ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri untuk melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi berwibawa, inovatif dan bernilai tinggi," titah baginda pada perasmian Program Jom Masuk U (JMU) 2024 Zon Timur II di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA kampus Gambang, di sini semalam.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata, Jom Masuk U bukan sekadar memberi petunjuk kepada pelajar mengenai laluan masa depan mereka, malah ia menjadi platform menyediakan modal insan yang terdidik dan terlatih bagi meneruskan pembangunan dan kejayaan dalam pelbagai bidang.

Berita Harian X