Khamis, 30 Mei 2024 | 2:27pm
UTM
UTM

UTM lonjak 76 anak tangga dalam ranking universiti Asia

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus cemerlang dengan berada pada kedudukan ke-85 tahun ini berbanding ke-161 tahun sebelumnya dalam Ranking Universiti Asia Times Higher Education 2024.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata peningkatan 76 anak tangga dan tertinggi dalam negara berbanding universiti awam lain itu adalah pencapaian signifikan bagi UTM.

Beliau berkata ini sekali gus menaikkan reputasi universiti berkenaan sebagai antara institusi pendidikan tinggi awam terkemuka negara dan juga Asia dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

Menurutnya penilaian penarafan bagi 2024 berpandukan kepada pengukuran lima indikator utama iaitu kualiti penyelidikan melibatkan 30 peratus, persekitaran penyelidikan (28 peratus); pengajaran (24.5 peratus), industri (10 peratus) dan kesohoran global (7.5 peratus).

"Bagi edisi 2024, UTM telah menunjukkan peningkatan membanggakan dalam aspek kualiti penyelidikan, pengajaran, industri serta kesohoran global.

"Berdasarkan analisa dalaman UTM, output dan impak penyelidikan yang dihasilkan melalui penerbitan ilmiah dan juga penghasilan inovasi

adalah antara faktor menyumbang kepada peningkatan penarafan ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Fauzi berkata sejajar dengan aspirasi sebagai universiti penyelidikan, UTM memberi penekanan khusus terhadap penyelidikan sebagai satu fokus utama yang dilaksanakan menerusi Pelan Global Universiti (2012-2020) dan enVision UTM 2025 (2021-2025).

"Lantaran daripada pencapaian penarafan universiti ini, ingin ditegaskan bahawa warga universiti perlu terus melaksanakan amanah yang sebaik-baiknya dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan berpaksikan kualiti dan impak serta tidak menjadikan ranking sebagai matlamat utama.

"UTM harus bertindak sebagai pembangun negara, industri dan komuniti serta mencipta keunggulan di mata dunia," katanya.

Ranking Universiti Asia Times Higher Education 2024 adalah penilaian komprehensif membabitkan 739 universiti merentas 32 negara Asia.

Berita Harian X