Isnin, 20 Mei 2024 | 1:52pm
Pacuan empat roda yang dinaiki bersama kakitangan sekolah SK Balar terbalik ketika dalam perjalanan
Pacuan empat roda yang dinaiki bersama kakitangan sekolah SK Balar terbalik ketika dalam perjalanan

Bermalam di hutan, kereta terbabas suka duka guru pedalaman

Kata pepatah alah bisa, tegal biasa, justeru bagi Asmawati Ahmad, 44 tahun selama enam tahun menabur bakti sebagai pendidik di kawasan pedalaman di Gua Musang, Kelantan mengajarnya untuk lebih menyayangi anak bangsa.

Bagi guru Bahasa Inggeris berasal dari Kedah itu, meskipun baru enam tahun bertugas di kawasan terpencil, dia sudah melalui pelbagai cabaran yang ada kalanya cukup mencemaskan.

Usahkan berkubang di dalam lumpur ketika dalam perjalanan pergi dan keluar dari pos Orang Asli, malah pacuan empat roda yang dinaikinya pernah beberapa kali terbalik selain pernah berhadapan dengan harimau belang.

Guru cekal ini yang mesra dipanggil Cikgu As dalam kalangan anak muridnya tetap tabah menempuh cabaran mengajar anak Orang Asli suku Temiar di Pos Balar dan Pos Bihai.

Asmawati yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, berkata dia dan suaminya juga seorang guru, Md Faizul Abdullah @ Yunus, 46, sengaja memilih untuk bertugas di kawasan pedalaman bagi mencari pengalaman baharu.

Asmawati banyak menghabiskan masa hujung minggunya memantaupelajaran anak murid yang tinggal di asrama. Foto NSTP/ Paya Linda Yahya
Asmawati banyak menghabiskan masa hujung minggunya memantaupelajaran anak murid yang tinggal di asrama. Foto NSTP/ Paya Linda Yahya

Katanya, dia sebelum ini bertugas di SK Padang Serai, Kedah sebelum memutuskan untuk berkhidmat di pedalaman Kelantan. Mengimbas antara kejutan awal diterimanya ketika bertugas di SK Balar adalah ketika melihat harimau berkeliaran di luar pagar kuaters guru.

"Tentu saja saya terkejut. Apatah lagi saya melihat harimau itu cuba untuk melompat pagar untuk masuk ke kawasan kediaman kami.

"Mujur juga tidak berjaya selepas beberapa kali mencuba dan akhirnya berlalu pergi," katanya.

Asmawati berkata, pengalaman 'dikunjungi' harimau liar seperti itu menjadi sebahagian warna-warni kehidupan guru di pedalaman. Malah perjalanan berulang alik ke sekolah juga ada kalanya cukup mencemaskan.

Bermalam di hutan

Kongsinya, pada hari pertama masuk ke Pos Balar, dia dan suami terpaksa bermalam di dalam hutan apabila pacuan empat roda yang dinaiki terbabas ke tebing bukit.

"Kejadian itu berlaku pada tahun 2018, iaitu hari pertama kami masuk ke Pos Balar untuk melaporkan diri di SK Pos Balar. Itu kenangan yang sampai sekarang akan kami ingat.

"Walaupun begitu, ia tidak jadi sebab untuk kami mengundur diri sebaliknya semakin memberi motivasi untuk terus berkhidmat.

Jalan balak yang dilalui untuk ke sekolah selalu licin terutama selepas hujan
Jalan balak yang dilalui untuk ke sekolah selalu licin terutama selepas hujan

"Hari ini, walau apa pun keadaan dan situasi, kami akan lalui dengan tabah dan penuh sabar kerana jalan untuk masuk ke sini adalah jalan balak dan sangat berbahaya pada hari hujan," katanya.

Katanya, pengalaman kenderaan terbabas itu bukan hanya sekali dilaluinya. Tahun lalu, pacuan empat roda yang dinaiki bersama guru dan kakitangan sekolah yang lain terbalik ketika dalam perjalanan keluar dari Pos Balar.

Kejadian pada bulan Ogos itu, agak mencemaskan, apabila pacuan empat roda yang sedang menuruni bukit tiba-tiba hilang kawalan dan terbalik disebabkan jalan licin.

"Kalau difikirkan mengenai cabaran sebegini misalnya, berhadapan dengan perjalanan yang penuh risiko untuk sampai ke sekolah, memang mencemaskan.

"Apatah lagi ada juga rakan yang cedera dalam kejadian itu, memang sesekali ada perasaan takut yang timbul.

"Tetapi bila membayangkan wajah murid-murid di sekolah yang sedang menanti kami, rasa takut itu hilang dan kembali bersemangat untuk masuk mengajar mereka," kata ibu kepada dua anak yang berusia 14 hingga 21 tahun.

Katanya, murid di kawasan pedalaman sama ada Orang Asli atau bukan memiliki keinginan dan cita-cita yang sama dengan pelajar lain. Malah sebenarnya kata Asmawati, ibu bapa murid Orang Asli dari suku Temiar itu mempunyai cita-cita dan impian cukup besar untuk anak-anak mereka.

"Kebanyakan ibu bapa di sini, mahu anak keluar dari kampung dan mengubah nasib keluarga. Jadi, mereka sentiasa memberi penekanan kepada anak-anak untuk belajar.

"Kalau ditanya anak-anak ini pula, masing-masing bercita-cita tinggi. Ada yang mahu berkhidmat dengan angkatan tentera, ada yang mahu jadi polis. Semuanya mahu keluar dari kampung dan mengejar cita-cita," katanya.

Impian besar murid

Tegasnya, cita-cita besar anak-anak murid itu harus dibantu sebaik mungkin kerana sebagai guru di pedalaman, mereka menggalas tanggungjawab besar untuk mendidik serta terus memberi motivasi kepada mereka untuk tekal mengejar impian.

Hari ini sesudah bertugas enam tahun di SK Balar, Asmawati bertukar lokasi dan kini bertugas di SK Tandrik, Pos Bahai, satu lagi kawasan penempatan Orang Asli di Gua Musang sejak pembukaan sesi persekolahan Mac lalu.

Katanya, kesusahan dan kepayahan yang dilalui sepanjang berkhidmat di kawasan pedalaman membuka matanya kepada pelbagai cerita dan sisi kemanusiaan selain menjadi kenangan indah yang tidak akan dilupakan.

Katanya, selepas beberapa tahun berada dalam komuniti orang Asli, perasaan sayang semakin mendalam terhadap anak muridnya.

"Saya hanya akan keluar ke bandar apabila ada keperluan atau ketika cuti panjang untuk bertemu anak-anak, yang masing-masing masih belajar.

"Setiap hujung minggu masa saya banyak dihabiskan dengan anak-anak Orang Asli terutama yang tinggal di asrama bagi memantau pembelajaran mereka.

"Malah pada waktu petang juga kami akan mandi sungai bersama-sama dan hal ini pasti akan menjadi kenangan indah sebagai guru.

"Mereka sudah saya anggap seperti anak sendiri, mengajar, mengasuh dan mendidik supaya mereka juga tidak terpinggir dalam aspek pendidikan walaupun berada jauh di pedalaman.

"Saya fikir semua guru pun akan melakukan perkara yang sama jika berada di tempat saya," katanya.

Berita Harian X