Sabtu, 18 Mei 2024 | 5:17pm
Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin (kiri) menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Wiksa Virijo Vicheet pada Majlis Konvokesyen MSU ke-33 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin (kiri) menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Wiksa Virijo Vicheet pada Majlis Konvokesyen MSU ke-33 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/Faiz Anuar

MSU sasar pelajar antarabangsa dari 100 negara

SHAH ALAM: Management and Science University (MSU) menyasar untuk menerima kemasukan pelajar antarabangsa daripada 100 negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, sasaran itu adalah sebahagian daripada proses mengantarabangsakan universiti berkenaan yang kini mempunyai empat kampus luar negara.

"Saya boleh lihat usaha yang kita lakukan terutamanya pada lima tahun lalu dalam mengantarabangsakan universiti dan ia menunjukkan hasil yang bagus.

"Kita kini mempunyai empat kampus luar negara iaitu di Bangalore (India), Colombo (Sri Lanka); Jakarta (Indonesia) dan China. Malahan pada Majlis Konvokesyen kali ini, kita meraikan graduan antarabangsa dari 29 negara dan secara keseluruhan kita ada pelajar daripada 65 negara.

"Kita menyasarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang, kita ada kemasukan pelajar antarabangsa dari 100 negara, Insya-Allah," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen MSU ke-33 di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis konvokesyen berkenaan adalah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang juga Canselor MSU.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang juga Canselor MSU diiringi Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid bersama graduan pada Majlis Konvokesyen MSU ke-33 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang juga Canselor MSU diiringi Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid bersama graduan pada Majlis Konvokesyen MSU ke-33 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, universiti juga gembira apabila graduan MSU yang menceburi teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat.

Katanya, universiti itu akan memberi lebih perhatian dalam menyediakan rangka kerja untuk menyokong keperluan 200,000 pekerja berkemahiran dalam bidang AI khususnya melalui Pusat Kecemerlangan MSU dikenali sebagai Artificial Intelligence and Cyber Security Centre (AICS).

Sementara itu, penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Wiksa Virijo Vicheet, berkata beliau berbesar hati apabila dipilih untuk menerima anugerah utama pada majlis konvokesyen berkenaan.

"Kita tahu MSU mempunyai 'ranking' yang tinggi dan semua pelajar mempunyai kekuatan masing-masing justeru tidak pernah terlintas yang saya akan terpilih. Terima kasih Tan Sri Presiden dan MSU," kata graduan Bachelor in Nutrition (Hons) itu,

Beliau berkata, sepanjang pengajiannya di MSU, antara cabaran yang dihadapinya adalah ketika pandemik kerana terpaksa belajar secara 'offline' sebelum dipanggil semula ke kampus.

Dalam pada itu, Wiksa turut memuji pendekatan holistik yang diketengahkan MSU yang mana kecemerlangan pelajar tidak diukur pada akademik semata-mata.

"Selain akademik, MSU menekankan pelajar untuk turut aktif dalam 'softskills' seperti lkepimpinandan lain-lain," katanya yang kini bekerja sebagai pakar pemakanan di sebuah syarikat swasta dan sedang menunggu kemasukan ke Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, seramai 2,253 graduan dari 128 program pengajian bakal menerima skrol pengajian masing-masing.

Majlis yang melibatkan empat sidang selama dua hari menyaksikan 25 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (42), Sarjana Muda (1,285) dan Diploma (901).

Berita Harian X