Rabu, 15 Mei 2024 | 3:21pm
Mohd Fuad (empat kiri) bersama Zawawi (tiga kiri) dan delegasi Pusat Sains Negara ketika melawat U-Science UMS di Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto U-Science UMS
Mohd Fuad (empat kiri) bersama Zawawi (tiga kiri) dan delegasi Pusat Sains Negara ketika melawat U-Science UMS di Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto U-Science UMS

Pusat Sains Negara bekerjasama U-Science UMS merancakkan pembudayaan sains di Sabah

KOTA KINABALU: Kerjasama strategik Pusat Sains Negara (PSN) dan U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat membantu menggerakkan dan menjayakan program pembudayaan sains di kawasan luar bandar Sabah.

Pengarah Pusat Sains Negara, Mohammad Fuad Rahman, berkata U-Science UMS adalah rakan strategik PSN di Sabah dalam menjayakan program pembudayaan sains di negeri itu termasuk Minggu Sains Negara peringkat negeri dan Kembara Sains Borneo pada tahun lalu.

Beliau juga berharap kerjasama strategik itu dapat diperkukuhkan dan diteruskan pada masa akan datang demi kebaikan masyarakat terutama di luar bandar negeri berkenaan.

Justeru, beliau berpandangan adalah penting untuk memformalisasikan kerjasama antara kedua-dua pihak menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara PSN dan U-Science UMS.

"Kita berharap kerjasama erat dengan U-Science UMS akan diperkukuhkan lagi selepas memeterai MoU yang dijangka akan dibuat tahun ini bagi merancakkan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Sabah seperti terkandung dalam Dasar Sains, Teknologi & Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030

"Menerusi MoU ini nanti, lebih banyak kerjasama dalam pelbagai aspek dapat dilaksanakan," katanya.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan ke Pusat U-Science UMS bersama delegasinya dengan objektif kunjungan terbaru itu bagi membincangkan program kerjasama antara kedua pihak.

Sementara itu, Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin, berkata apa yang dicapai oleh pihaknya sekarang ini tidak dapat direalisasikan tanpa jalinan kolaborasi dengan PSN.

"U-Science tidak akan berada pada kedudukan hari ini tanpa kerjasama erat yang diberikan pihak PSN.

"Kita harap kerjasama strategik secara berterusan dengan PSN menerusi program jangkau luar pembudayaan sains, latihan sangkutan di antara kakitangan serta pertukaran bahan pameran dapat dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya.

Zawawi berkata, sejak penubuhan U-Science UMS pada Mac 2020, PSN adalah entiti yang sentiasa bersama unit itu dalam menjayakan program pembudayaan sains di Sabah.

Pada 2023, sebanyak 80,970 penyertaan untuk semua program pembudayaan sains yang dianjurkan U-Science UMS.

Berita Harian X