Selasa, 14 Mei 2024 | 5:42pm
Lulusan program kemahiran mudah mendapat pekerjaan. - Foto hiasan BH
Lulusan program kemahiran mudah mendapat pekerjaan. - Foto hiasan BH

90 peratus lulusan institusi MARA mendapat kerja

TANAH MERAH: Sebanyak 90 peratus lulusan daripada institusi Majlis Amanah Raya (MARA) di Kelantan berjaya mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian.

Pengarah MARA Kelantan, Fazli Rizal Ismail, berkata mereka lulusan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan GiatMara yang mendapat pemintaan tinggi daripada industri dalam dan luar negara.

Beliau berkata, sebilangan daripada lulusan itu turut menerima tawaran pekerjaan dari negara luar, antaranya Singapura.

"Terdapat pelajar kita ketika tahun akhir, sudah ada syarikat datang temu duga dan mengambil mereka untuk bekerja berdasarkan kemahiran yang dipelajari di institusi kami," katanya pada Program MARA Prihatin Merakyatkan MARA di Kampung Kelewek, di sini hari ini.

Fazli berkata, ketika ini terdapat 2,000 pelajar yang mengikuti pengajian di institusi MARA di Kelantan.

"MARA ada beberapa kategori pendidikan. Pertama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang ada lima buah di seluruh Kelantan. Selain itu, 15 pusat GiatMara, KKTM di Pasir Mas dan KPTM di Kota Bharu yang menawarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.

Beliau berkata, antara bidang kemahiran yang mendapat permintaan tinggi daripada syarikat ialah elektrik, jahitan, makanan, automatif dan pembinaan.

"TVET ketika ini mendapat permintaan sangat tinggi daripada industri," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X