Selasa, 14 Mei 2024 | 12:03pm
Guru di SDH menggunakan konsep didik hibur melalui alat bantuan mengajar yang dikhaskan bertujuan menarik perhatian murid untuk memahami dan mengikuti sesi PdP dengan lebih berkesan. - NSTP/Amin Jalil
Guru di SDH menggunakan konsep didik hibur melalui alat bantuan mengajar yang dikhaskan bertujuan menarik perhatian murid untuk memahami dan mengikuti sesi PdP dengan lebih berkesan. - NSTP/Amin Jalil

Sekolah dalam wad, elak tercicir PdP

Berbeza dengan kebanyakan guru, Farah Fatihah Che Tajudin,37, memulakan rutin pengajarannya setiap pagi dari katil ke katil.

Di situ, anak muridnya menunggu dengan wajah tenang dan tidak sabar untuk belajar. Disebabkan kebanyakan proses pembelajaran itu membabitkan kumpulan murid yang kecil, hubungan antara guru dan murid menjadi akrab. Hal ini sangat membantu pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lebih baik.

Mereka mudah bertanya jika tidak faham malah keakraban itu menyaksikan guru seperti Farah Fatihah dianggap sebagai ibu bapa sendiri.

Farah Fatihah adalah antara sebahagian guru yang bertugas di sekolah dalam hospital (SDH), Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban.

Baginya mendidik anak murid sambil mereka mendapat rawatan kesihatan bukan lagi hal luar biasa.

"Saya akan 'bertugas' dari katil ke katil untuk melaksanakan sesi PdP secara seorang dengan seorang seperti mana jadual harian yang ditetapkan, dengan setiap sesi antara 30 minit hingga ke sejam.

"Suasana di sini agak berbeza kerana kami sentiasa berdamping dengan murid.

" Hal ini membuatkan mereka tidak bimbang untuk bertanya soalan atau memberi idea. Mereka lebih berani dan yakin selain dapat menerima keadaan berada di wad dengan tenang," katanya.

Kongsi Farah Fatihah, guru di SDH turut menggunakan konsep didik hibur melalui alat bantuan mengajar yang dikhaskan bertujuan menarik perhatian murid untuk memahami dan mengikuti sesi PdP dengan lebih berkesan.

Hal ini katanya penting bagi memastikan murid merasa seronok untuk belajar.

Katanya, sehingga kini terdapat dua kelas di SDH HTJ iaitu peringkat prasekolah atau sekolah rendah dan peringkat menengah, manakala bagi silibus pembelajaran pula ia adalah berasaskan sukatan pelajar sekolah rendah dan menengah biasa.

Bagi S Chandran, 11, dia mengakui peluang mengikuti SDH membantunya untuk tidak ketinggalan pelajaran. Malah katanya, guru yang bertugas juga baik dan mesra.

Dia yang dimasukkan ke TTJ kerana terbabit dalam kemalangan berkata, pendekatan guru di SDH juga menjadikan dia selesa untuk terus belajar.

Belajar dalam kumpulan kecil membantu murid di SDH yakin dan berani bertanya soalan dan memberi idea. - NSTP/Amin Jalil
Belajar dalam kumpulan kecil membantu murid di SDH yakin dan berani bertanya soalan dan memberi idea. - NSTP/Amin Jalil

"Saya rasa lega, walaupun terpaksa berada di wad disebabkan masalah kesihatan, saya masih mampu meneruskan sesi persekolahan macam biasa," katanya.

gn4id:51758891

SDH HTJ adalah satu daripada 15 buah sekolah di Malaysia yang menjalankan program sekolah dalam hospital. Program ini diwujudkan sebagai inisiatif bersama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Universiti dan Yayasan Nurul Yacieen (YNY).

Penubuhannya dimulakan secara rasmi pada 2011 sebagai menyahut seruan badan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menyediakan konsep pendidikan untuk semua. Menerusinya, murid yang terlantar wad hospital memperoleh peluang pendidikan secukupnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin, berkata asas utama program SDH ini adalah untuk menyantuni murid-murid sama ada di peringkat prasekolah, rendah dan menengah yang ditimpa penyakit atau kemalangan serta seumpamanya.

Katanya, SDH yang dijalankan di HTJ membabitkan lapan orang guru dan beroperasi di Wad Mawar tingkat dua hospital berkenaan.

"Murid-murid yang ditempatkan di wad ini berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan. Ada yang kemalangan ada yang menghidap penyakit.

" Jadi, keberadaan mereka di wad ini bagi tujuan pembelajaran bergantung juga kepada tahap keseriusan penyakit atau kecederaan yang dialami.

"Tujuan kita adalah tidak mahu murid-murid ini terbengkalai pelajarannya, dan memastikan n mereka dapat menerima akses pendidikan sama seperti ketika berada di sekolah," katanya kepada BH.

Roslan berkata, guru-guru yang bertugas di SDH melaksanakan tugas sebagaimana di sekolah biasa dengan PdP yang dilaksanakan sama seperti modul pembelajaran di sekolah namun dari segi pedagogi ia mungkin sedikit berbeza.

Katanya, ketika ini terdapat dua sesi PdP iaitu antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang dari 2 hingga 4 petang.

"Pembelajaran di SDH berorientasikan didik hibur dan fleksibel dan ia menyediakan pembelajaran bagi murid peringkat prasekolah sehingga ke Tingkatan Lima.

"Kapasiti SDH di HTJ mampu menempatkan sehingga lebih 80 orang murid pada sesuatu masa," katanya.

Jelas Roslan, pelaksanaan PdP di SDH dirancang dengan mengambil kira kesediaan murid, kebenaran ibu bapa dan pengesahan doktor.

Dari segi kemudahan infrastruktur di SDH ia disediakan KKM, namun ada juga sumbangan beberapa peralatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Paling asasnya ruang belajar disediakan oleh pihak KKM, manakala bagi aktiviti kokurikulum tidak diadakan kecuali murid yang mengalami kecederaan ringan atau boleh berjalan dengan melakukan aktiviti sesuai di ruang belajar berkenaan.

"Bagi guru yang bertugas di SDH, mereka tampil dengan pendekatan yang tersendiri dengan sokongan alat bantuan mengajar yang mudah diterima murid berkenaan," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, berkata pelaksanaan SDH sangat memberi manfaat kepada pesakit terutama murid yang memerlukan rawatan lama di hospital.

"Melalui SDH ini, dapat membantu murid meneruskan pendidikan walaupun perlu berada lama di hospital.

"Bagi JKNNS, kami akan terus membantu memastikan SDH di HTJ Seremban berjalan lancar dan murid mendapat perkhidmatan rawatan terbaik.

INFO

SDH turut ditawarkan di beberapa hospital lain seluruh Malaysia antaranya;

1.Hospital Universiti Sains Malaysia

2.Pusat Perubatan Universiti Malaya

3.Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia

4.Hospital Sultanah Nur Zahirah

5.Hospital Sultan Haji Ahmad Shah

6.Hospital Wanita & Kanak-Kanak Likas

7.Hospital Tawau

8.Hospital Umum Sarawak

9.Hospital Ampang

10. Hospital Serdang

11. Hospital Kuala Lumpur

12. Hospital Selayang

13. Hospital Pakar Sultanah Fatimah

14. Hospital Sultanah Aminah.

Berita Harian X