Khamis, 18 April 2024 | 4:31pm
Tok Batin, Razali Kulim (tiga kanan) menyerahkan tesis orang asli suku Kensui kepada Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan (tiga kiri) di Kampung Lubuk Legong di sini, hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Tok Batin, Razali Kulim (tiga kanan) menyerahkan tesis orang asli suku Kensui kepada Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan (tiga kiri) di Kampung Lubuk Legong di sini, hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

UUM dokumentasikan bahasa Orang Asli suku Kensui

BALING: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan berusaha untuk mendokumentasi bahasa Orang Asli suku Kensui bagi memastikan ia dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

Naib Canselornya, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan, berkata warisan suku Kensui itu perlu didokumentasi berikutan jumlah penuturnya ketika ini hanya seramai 332 orang sahaja dan ia berhadapan dengan ancaman kepupusan.

"Pihak UUM melalui Jabatan Sejarah dan juga perpustakaan kita akan ambil inisiatif untuk mendokumentasikan bahasa Kensui seperti yang dicadangkan Tok Batin, Razali Kulim.

"Ini adalah langkah pertama kita untuk membantu mereka supaya perkataan dalam bahasa Kensui dapat dibukukan dan disimpan sebagai warisan," katanya ketika ditemui selepas menerima tesis kajian suku Kensui di Kampung Lubuk Legong, hari ini.

Sementara itu, Mohd Foad berkata UUM bangga kerana dipilih untuk menyimpan tesis kajian suku Kensui.

Jelasnya, kajian berkaitan Orang Asli suku Kensiu mula dilakukan kira-kira 40 tahun lalu, oleh seorang tokoh akademik dari Osaka, Jepun iaitu Profesor Nagata.

"Beliau ketika itu adalah pensyarah di Universiti Penyelidikan Toronto, Kanada dan melakukan kajian sekitar tahun 70-an, namun meninggal dunia ketika pulang ke Jepun.

"Pada Disember tahun lalu, Profesor Dr Nobuta Toshihiro yang menjadi pakar di National Museum Atnhology Suika, Osaka, datang ke Kedah untuk menyerahkan tesis lengkap kajian etnik Kensiu kepada Tok Batin Razali," katanya.

Mohd Foad berkata, naskhah tesis itu akan disimpan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM sebagai rujukan kepada semua pihak yang berminat.

Rekod di Pejabat Daerah Baling menunjukkan suku Kensiu mula menetap di Ulu Legong bermula pada 1952 dan kini seramai 84 keluarga masih tinggal di kawasan berkenaan.

Orang Asli suku Kensui yang tergolong dalam puak Negrito yang terdapat di Kedah adalah kelompok tertua di Semenanjung Malaysia.

Berita Harian X