Isnin, 15 April 2024 | 12:34pm
Batoul berpandangan sambutan Aidilfitri di Malaysia lebih meriah dan meraikannya di Kedah bersama rakannya. - Foto hiasan/BERNAMA
Batoul berpandangan sambutan Aidilfitri di Malaysia lebih meriah dan meraikannya di Kedah bersama rakannya. - Foto hiasan/BERNAMA

Rakan 'ganti' keluarga di perantauan

MENYAMBUT Aidilfitri di perantauan bukan hal luar biasa, namun ia tetap mengundang air mata dan kenangan meraikannya di kampung halaman.

Bagi pelajar Doktor Falsafah (PhD) dari Syria, Batoul Alallam, 31, sambutan Syawal kali ini adalah tahun ketujuh di Malaysia. Dia yang sedang melanjutkan sarjana bidang Farmasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah berada di sini sejak 2018.

Anak kedua dari tiga beradik itu menyifatkan suasana Aidilfitri di Malaysia lebih meriah berbanding di Syria.

"Di Syria, kami biasanya akan meluangkan masa bersama keluarga di rumah pada hari raya pertama sebelum mengunjungi jiran-jiran di sekitar kawasan perumahan pada keesokan harinya.

"Pada hari ketiga barulah kami menziarahi saudara mara lain yang tinggal lebih jauh tetapi saya lihat uniknya di sini, orang Malaysia boleh buat semuanya dalam satu hari yang sama," katanya.

Tambah Batoul, kemeriahan Aidilfitri di Malaysia juga disebabkan adanya majlis rumah terbuka yang lazimnya diadakan sehingga penghujung Syawal, berbanding di negara asalnya, perayaan itu secara tradisi hanya berlangsung selama tiga hari.

Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dari Syria, Batoul Alallam. - Foto ihsan Siti Aminah Yusof
Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dari Syria, Batoul Alallam. - Foto ihsan Siti Aminah Yusof

Batoul berkata, dia yang kini berada dalam semester terakhir belum pernah pulang ke tanah airnya di Damsyik sejak datang menuntut di Malaysia.

"Keluarga saya antara yang terjejas dengan perang di Syria. Jadi saya harap dapat pulang selepas tamat PhD nanti untuk memberi sokongan fizikal dan moral untuk 'menguatkan' mereka.

"Hampir setiap hari saya berhubung dengan keluarga melalui aplikasi WhatsApp dan sebenarnya saya sendiri tidak pasti sama ada akan ada jaminan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan setelah pulang nanti," katanya.

Batoul turut menyifatkan Aidilfitri tahun ini begitu bermakna buat dirinya kerana pertama kali diundang meraikannya di rumah keluarga rakannya di Sungai Petani, Kedah.

"Saya teruja untuk mencuba pengalaman baharu seperti memasak juadah raya bersama-sama. Saya paling suka sate ayam. Saya juga sudah menyediakan sepasang baju kurung untuk dipakai hari raya nanti," ujarnya.

Pelajar doktor falsafah bidang Entomologi dari Nigeria, Ahmadu Bukar.
Pelajar doktor falsafah bidang Entomologi dari Nigeria, Ahmadu Bukar.

Sementara itu bagi pelajar doktor falsafah bidang Entomologi dari Nigeria, Ahmadu Bukar, 44, berkata Syawal ini adalah tahun kedua dia meraikannya di Malaysia.

Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, Syawal kali ini dirai dengan Persatuan Pelajar Antarabangsa USM.

"Selepas solat hari raya, kami akan memasak bersama-sama dan jemput semua orang tanpa mengira kaum dan agama. Tahun lalu kami buat kuih 'tuwol' yang rasanya seperti biskut suji di sini.

"Kami juga sediakan kuih 'masa' yang diperbuat daripada beras dan dimakan bersama taushe (sup diperbuat daripada labu)," katanya yang juga pensyarah biologi di Federal College of Education (Technical) Akoka di Lagos.

Bapa kepada enam anak itu turut berpandangan suasana sambutan Aidilfitri di Malaysia sama meriah di negara asalnya dengan fesyen pakaian berwarna-warni dan diserikan dengan amalan ziarah-menziarahi.

"Kami juga ada budaya 'anko' (pakai sedondon) satu keluarga. Kalau lelaki biasanya akan pakai baju dipanggil 'jampaya', manakala kaum wanita akan menyarung 'lappaya'. Bila bertemu sesama sendiri kami akan ucap 'barka da sallah' sebagai tanda mendoakan kesejahteraan pada hari raya," jelasnya.

Berbeza pula dengan situasi pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) asal Pulau Pinang, Syed Syazwi Rafiuddin Syed Ibrahim, 22, yang tidak dapat pulang berhari raya kerana komitmen mengendalikan beberapa program kelab dan persatuan yang disertainya di samping melakukan persiapan sebagai peserta Debat Piala Orator (DEBORA) yang bakal berlangsung 18 April ini.

Pelajar tahun dua jurusan ⁠Matematik Grafik Berkomputer itu menambah, selain aktif dengan pelbagai aktiviti di universiti faktor kos tiket penerbangan sehala yang agak tinggi mencecah RM300 hingga RM450 turut menjadi antara faktor menyekatnya pulang ke kampung halaman sempena cuti musim perayaan kali ini.

"Tiga daripada empat program yang saya kendalikan itu dijadualkan berlangsung pada bulan April dan Mei jadi saya fikir tidak mengapa kalau berhari raya di UMS selain dapat juga merasai pengalaman berbeza berhari raya di kampus bersama rakan-rakan.

"Sebenarnya hanya ada seorang kawan dari Semenanjung beraya di UMS bersama dan kami bercadang berkunjung ke rumah rakan-rakan lain berdekatan kampus kalau tidak mungkin kami hanya dapat merasa rendang dan ketupat selepas kawan-kawan balik bercuti raya nanti," kongsi Timbalan Presiden Kelab Orator Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) itu.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Mahasiswi Sarawak (PEMASRA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abang Abdul Rahman Taip, berkata hanya kira-kira 50 penuntut dari Bumi Kenyalang tidak pulang berhari raya pada tahun ini dengan kebanyakannya memilih untuk meraikan Syawal bersama keluarga terdekat dan saudara mara di Semenanjung.

"Kebanyakan kami akan balik beraya kerana banyak inisiatif diberikan pihak UKM, Kerajaan Persekutuan seperti FlySiswa dalam bentuk baucar bagi membolehkan pelajar membeli tiket pada harga lebih rendah selain dari kerajaan negeri iaitu subsidi tiket penerbangan RM600 setahun

"Dalam pada itu, permohonan PEMASRA dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) supaya kelas diadakan secara dalam talian seminggu sebelum Aidilfitri dan menyambung cuti pertengahan semester selepas cuti raya untuk menjadikan cuti lebih panjang diluluskan," katanya.

Beliau berkata, pada ketika ini kira-kira 550 anak Sarawak mengikuti pelbagai program pengajian di UKM dengan PEMASRA bersama KMUKM turut mengusahakan inisiatif pengangkutan ke lapangan terbang bagi membantu mengurangkan kos pulang beraya kali ini.

Berita Harian X