Sabtu, 23 March 2024 | 5:43pm
Syaiful Rizal menyerahkan sumbangan kepada pelajar tajaan YBR, Norwardina di Papar.
Syaiful Rizal menyerahkan sumbangan kepada pelajar tajaan YBR, Norwardina di Papar.

Yayasan Bank Rakyat bantu pelajar ditimpa musibah

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menghulurkan sumbangan wang tunai RM3,000 kepada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Norwardina Abd Sani, 21, yang hilang tempat berteduh selepas rumahnya musnah akibat kebakaran.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, berkata Norwardina ialah penerima Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah yayasan terbabit dan kediamannya serta sembilan lagi rumah lain musnah akibat kebakaran pada 4 Mac lalu.

"Bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan yang perlu ditanggung untuk beliau meneruskan pengajian di UMS, membeli keperluan dan peralatan persekolahan adik-adik beliau yang baru memulakan persekolahan.

"Yayasan Bank Rakya amat prihatin dengan musibah dihadapi Norwardina dan keluarga yang kini tinggal sehelai sepinggang serta memohon agar mereka yang berada di luar sana tampil membantu dalam bentuk bantuan tunai atau lain-lain kerana mereka amat memerlukan," katanya.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Syaiful turut mendoakan Norwardina sekeluarga dipermudah segala urusan sepanjang Ramadan ini dan sentiasa dilindungi Allah SWT.

Sementara itu, Norwardina turut menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan YBR untuk membantunya dan keluarga.

"Saya berasa amat bersyukur dengan bantuan yang disampaikan ini. Dapatlah membantu membeli peralatan persekolahan untuk adik-adik yang masih bersekolah serta meneruskan pengajian," katanya.

Sepanjang 2023, YBR memperuntuk lebih RM335,000 bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Berita Harian X