Jumaat, 22 March 2024 | 3:20pm
Antara pelajar yang terpilih memasuki KYSM
Antara pelajar yang terpilih memasuki KYSM

Yayasan Selangor sumbang peruntukan pendidikan RM990,000

KUALA LUMPUR: Yayasan Selangor menerusi Program BITARA Yayasan Selangor menyalurkan peruntukan pendidikan berjumlah RM990,000 kepada 62 pelajar bagi sesi persekolahan tahun 2024/2025.

Ia membabitkan 55 pelajar di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terpilih menerusi Program Budi Yayasan Selangor, dan tujuh murid di Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM).

Yayasan Selangor berkata, pelajar yang terpilih adalah terdiri daripada golongan B40 dengan pendapatan per kapita keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan.

Ia membabitkan penajaan meliputi yuran persekolahan, yuran penginapan dan makanan, yuran pengajian, wangsaku dan peranti.

"Program BITARA yang dilaksanakan sejak 2021 oleh Yayasan Selangor dengan kerjasama KYSM dan MARA, bermatlamat untuk melahirkan murid yang global, cemerlang dan kompetitif.

"Ia seiring dalam menghasilkan modal insan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dalam menyumbang tenaga kerja berprestasi tinggi yang akan melebihi jangkaan negara khususnya negeri Selangor.

"Penempatan murid yang terpilih di KYSM dan MRSM akan memberi mereka peluang bagi meneruskan persekolahan di sekolah elit dengan iklim pembelajaran kondusif dan prasarana yang lebih efektif," katanya dalam kenyataan.

Menerusi Program BITARA Yayasan Selangor di MRSM, tajaan diberikan kepada murid kelahiran Selangor yang berada di 12 buah MRSM terpilih bermula Tingkatan 1 hingga 5, manakala di KYSM pula, pelajar ditaja bermula Tingkatan 4 hingga 5.

Majlis penyerahan surat tawaran kepada murid yang terpilih disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Zaini Sulaiman, kepada tiga murid yang hadir bersama ibu bapa masing-masing ibu pejabat Yayasan Selangor di Petaling Jaya, kelmarin.

Berita Harian X