Isnin, 11 March 2024 | 11:28am
Sebahagian kanak-kanak Orang Asli Semaq Beri yang mengikuti sesi pembelajaran di Sekolah Rimba seliaan UMT . Gambar ihsan UMT
Sebahagian kanak-kanak Orang Asli Semaq Beri yang mengikuti sesi pembelajaran di Sekolah Rimba seliaan UMT . Gambar ihsan UMT

'Ada kala terpaksa beri murid RM5 untuk kekalkan minat ke sekolah'

"Apa yang menjentik hati dan akal saya untuk menubuhkan Sekolah Rimba, apabila Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menyebut, hanya kira-kira 30 peratus saja murid yang datang ke sekolah.

"Malah ada kalanya terpaksa memberi murid RM5 seminggu supaya mereka kekal berada di sekolah sehingga habis waktu belajar," itu kata Timbalan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Khatijah Omar ketika ditanya mengenai idea penubuhan Sekolah Rimba di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu khusus untuk komuniti Orang Asli Semaq Beri.

Mengakui mendidik masyarakat Orang Asli dengan memastikan mereka sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) bukanlah suatu yang mudah. Hal ini, memandangkan kehidupan mereka lebih terarah kepada kelangsungan hidup sehari-harian.

Bagaimanapun kesukaran itu tidak menjadi halangan kepada Khatijah dan pasukannya iaitu seramai sembilan orang pensyarah merangkap penyelidik, menubuhkan Sekolah Rimba yang mula beroperasi secara rasmi pada Jun 2022.

"Saya bimbang dengan nasib mereka, dan atas rasa itu kami menubuhkan Sekolah Rimba selepas melihat sekolah konsep begini di Indonesia dan kemudian berjaya mendapatkan geran daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.

"Usaha ini juga disokong UMT yang mengambil inisiatif untuk memastikan kelompok ini tidak terus keciciran dalam mendapatkan pendidikan selayaknya," katanya.

Khatijah berkata, walaupun kampung yang mempunyai kira-kira 100 buah rumah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serba guna, koperasi, kawasan perumahan tersusun, klinik kesihatan, tadika dan sekolah kebangsaan, namun majoriti penduduknya iaitu suku kaum Orang Asli Semaq Beri kurang menunjukkan minat untuk belajar.

Malah katanya, berdasarkan dapatan kajian-kajian sebelum ini, Semaq Beri adalah kaum yang paling corot dari segi sukar untuk berubah dan terlalu bergantung kepada alam semula jadi untuk kelangsungan hidup mereka.

Jelasnya, Sekolah Rimba itu sudah melepasi fasa pertama dan kini sedang menunggu untuk memulakan fasa dua pada pertengahan Mac ini memandangkan kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan membabitkan bumbung sekolah yang diterbangkan angin akibat musim hujan.

Fasilitator membantu kanak-kanak Orang Asli Semaq Beri ketika sesi pembelajaran di Sekolah Rimba. Gambar ihsan UMT
Fasilitator membantu kanak-kanak Orang Asli Semaq Beri ketika sesi pembelajaran di Sekolah Rimba. Gambar ihsan UMT

Sebelum memiliki bangunan sendiri, Sekolah Rimba ini tidak begitu sempurna dan terpaksa menggunakan lantai buluh akibat kekangan wang, namun atas sumbangan seorang individu sebanyak RM20,000, sekolah itu berjaya dibina dengan lebih baik, selain bantuan dana daripada UMT sendiri.

"Di Sekolah Rimba, pembelajarannya berkonsepkan santai namun dilengkapi dengan 6M iaitu menulis, membaca, mengira, menyanyi, makan, muzik bagi mengelakkan murid bosan selain perlu diberikan insentif untuk menarik minat mereka.

"Kami merangka sebanyak 20 slot pembelajaran dengan di setiap slot, pensyarah sambil dibantu fasilitator mengambil masa kira-kira dua jam dengan pengisian seperti Hutan Ini Milik Kita, Pasar Borong, Sing Along, Jom Masuk Hutan, Treasure Hunt dan Show and Tell.

"Setiap kali waktu pembelajaran iaitu dua minggu sekali iaitu pada setiap hari Khamis, kami memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 daripada dana untuk membeli peralatan dan makanan sebagai usaha untuk menarik minat murid ini datang ke sekolah," katanya.

Kongsi Khatijah, ada kala tenaga pengajar perlu mengeluarkan dana sendiri kerana semua yang dilakukan ini adalah percuma dan tidak dibayar oleh sesiapa.

Setakat ini Sekolah Rimba mempunyai kira-kira 40 murid berusia tujuh hingga 12 tahun, namun kelas mereka digabungkan memandangkan masalah literasi yang dihadapi adalah sama.

"Ketika awal pengenalan kepada Sekolah Rimba ini, agak sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada ibu bapa, namun kini semakin lama semakin baik tahap kehadiran ke sekolah.

"Dulu, ibu bapa mereka akan jerit suruh balik cepat dan ada ketikanya apabila musim cendawan tiba, murid tidak hadir kerana ikut ibu bapa mereka ke dalam hutan.

"Tapi kini kehadiran melebihi 70 peratus, ibu bapa memberi kerjasama selain inginkan kelas diadakan lebih lama selepas Sekolah Rimba ini mula mendapat perhatian media," katanya.

Jelasnya lagi, walaupun perubahan mereka semakin positif, namun majoriti murid Orang Asli Semaq Beri enggan melanjutkan pelajaran hingga ke sekolah menengah berikutan sekolah berada di luar kampung mereka.

Katanya, berdasarkan kepada data, tidak sampai separuh daripada mereka akan menyambung pelajaran dan ia akan semakin berkurangan dan akhirnya ada seorang saja yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM ).

"Pelajar itu dibantu sebaiknya. Walaupun keputusannya kurang memberangsangkan, namun dia diterima di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai penyuntik semangat kepada komuniti Semaq Beri, namun sayang hanya bertahan satu semester saja.

"Namun hari ini, kita sudah boleh melihat walaupun kaum Semaq Beri ini antara yang terkebelakang dan susah untuk terima kemajuan, namun kini mereka dilihat secara perlahan-lahan boleh terima perubahan," katanya.

Khatijah berkata, sepanjang tertubuhnya Sekolah Rimba ini, jerit perih pasukannya disifatkan terbalas apabila banyak kenangan manis dapat dilihat, antaranya masyarakat itu semakin mesra dengan orang luar dan tidak lagi melarikan diri.

Malah katanya, paling baik sudah ada kesedaran terhadap pendidikan yang semakin baik kerana mereka sendiri yang meminta diadakan kelas dengan lebih kerap. Malah murid juga semakin rajin dan membantu membersihkan kawasan sekolah sebelum kelas dimulakan berbanding sebelumnya.

"Selain itu, kami juga menerima anugerah apabila Sekolah Rimba diangkat sebagai projek berimpak tinggi dan Anugerah Khas Naib Canselor, selain turut menerima kunjungan daripada Universitas Ibnu Sina, Batam dan Universitas Pamulang, Banten, Indonesia serta pelajar dari Perancis.

"Saya berharap Sekolah Rimba ini akan dilihat sebagai satu perkara yang positif dan pihak berwajib dapat mengembangkannya ke kampung Orang Asli yang lain.

"Walaupun sekolah seperti ini bukanlah yang pertama seumpamanya di negara ini, tetapi perubahan minda mereka terhadap kepentingan pendidikan perlu disambut," katanya.

Berita Harian X