Khamis, 7 March 2024 | 12:48pm
Adakah murid wajar diwajibkan menguasai kemahiran 3M sebelum memasuki Tahun Satu? Gambar Hiasan Arkib NSTP
Adakah murid wajar diwajibkan menguasai kemahiran 3M sebelum memasuki Tahun Satu? Gambar Hiasan Arkib NSTP

Perlukah murid kuasai 3M sebelum masuk Tahun Satu ?

APRIL tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan sejumlah 269,332 murid sekolah rendah di seluruh negara dikesan belum menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Situasi ini seharusnya memberi tamparan kepada masyarakat memandangkan tiga perkara berkenaan adalah kemahiran asas kepada perkembangan pembelajaran murid.

Jika tidak diatasi dengan cermat, dikhuatiri murid tidak mampu mengikuti silibus mata pelajaran membabitkan bahasa, Sains dan Matematik sehingga hilang keyakinan diri. Paling ditakuti, kemungkinan anak-anak yang masih naif ini hilang minat terhadap pendidikan lalu tercicir.

Ada banyak faktor yang menyebabkan hal ini terjadi, misalnya jumlah murid terlalu ramai dalam sesebuah kelas menyebabkan guru tidak mampu mengajar secara berkesan. Selain itu kemahiran 3M dilihat perlu dikuasai oleh murid ketika di peringkat prasekolah jadi ia adalah tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan pelajar.

Adakah pandangan itu benar dan murid wajar diwajibkan menguasai kemahiran 3M sebelum memasuki Tahun Satu?

Bagi suri rumah, Saidatul Nadirah Yusop, 31, beliau berpandangan hal itu terpulang kepada kebijaksanaan ibu bapa, namun ia tidak boleh menjadi alasan untuk menyekat kemasukan murid berusia tujuh tahun ke Tahun Satu hanya gara-gara masih belum mahir membaca dan mengira.

Sebaliknya kata Saidatul Nadirah hampir semua sekolah ada menyediakan program pemulihan khas untuk membantu murid yang tidak memahiri 3M. Justeru tidak perlu mewujudkan kerisauan yang akhirnya akan membebankan ibu bapa terutama dalam kalangan mereka yang kurang mampu.

"Bagaimanapun, saya percaya setiap ibu bapa mesti mahukan hal yang terbaik untuk anak.

"Namun kita berusaha sedaya yang mampu sebagai ibu bapa. Misalnya kita boleh mengambil inisiatif sendiri melalui bahan bantu belajar seperti kamus bergambar untuk mendedahkan anak dengan kepada huruf dan nombor.

"Ibu bapa memiliki pengaruh yang besar terhadap perkembangan intelek anak, contohnya anak lebih mudah mengikuti percakapan ibu bapa, jadi kita perlu banyak meluangkan masa bersama anak di rumah," katanya.

Tegas Saidatul Nadirah, tidak semestinya kemahiran 3M hanya boleh dikuasai menerusi prasekolah sebaliknya ibu bapa sendiri perlu lebih berinisiatif.

Malah, jika anak sudah masuk ke sekolah dan masih gagal untuk menguasai 3M, ibu bapa perlu bekerjasama dengan guru untuk memastikan murid cepat mahir. Hal ini katanya disebabkan apabila anak sudah masuk ke Tahun Satu, capaian guru tentu lebih sukar kerana perlu mengendalikan puluhan murid. Hal itu juga adalah antara cabaran dihadapi guru untuk memastikan tiada murid tercicir dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP).

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berpandangan, walaupun isu penguasaan 3M dalam kalangan murid hangat dibincangkan tetapi tidak wajar untuk untuk mewajibkan mereka menguasai kemahiran 3M sebelum dibenarkan memasuki Tahun Satu.

Sebaliknya tegas Aminuddin, apa yang sepatutnya dilakukan adalah memperkasakan sistem pendidikan di peringkat prasekolah untuk memastikan murid mampu membaca, menulis dan mengira apabila melangkah ke Tahun Satu.

Katanya, isu mengenai keciciran 3M memang hal yang biasa dibincangkan sebelum ini tetapi ia semakin hangat apabila sistem pendidikan memilih pembelajaran dalam talian susulan pandemik COVID-19. Hal itu jelas terlihat dalam kalangan murid yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, miskin dan tinggal di pedalaman.

"Ibu bapa yang berkemampuan boleh mengajar atau menghantar anak mengikuti kelas persendirian, tetapi keluarga miskin tidak mampu berbuat demikian kerana mereka sendiri bergelut untuk meneruskan kehidupan.

"Di sinilah guru di sekolah perlu mengambil alih peranan sebagai individu yang memberi pendedahan di samping mengajar supaya semua murid boleh menguasai kemahiran asas tadi sebelum ke peringkat sekolah menengah," katanya.

Tegasnya, justeru kelas pemulihan khas yang diperkenalkan tidak sepatutnya dilihat secara konotasi negatif hingga melahirkan perasaan malu terhadap murid yang perlu mengikutinya.

Sebaliknya tegas Aminuddin, kelas pemulihan khas adalah pelengkap kepada usaha memulihkan kanak-kanak supaya mampu menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira seperti rakan mereka yang lain.

Katanya, apa yang perlu masyarakat fahami adalah setiap murid memiliki keupayaan berbeza dan sebagai pendidik, mereka perlu menjalankan tanggungjawab sebaiknya.

Bagaimanapun Aminuddin berpandangan, murid Tahap Satu iaitu dari Tahun Satu hingga Tiga seharusnya diberikan ruang untuk menguasai tiga kemahiran asas dan tidak dibebankan dengan silibus aras tinggi termasuk pengenalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

"Dalam hal ini NUTP berharap kementerian dapat menilai semula hal ini kerana ia tidak bersesuaian dengan perkembangan pembelajaran murid di Tahap Satu," katanya.

Berita Harian X