Selasa, 5 March 2024 | 1:13pm
Zambry melawat Kolej Universiti i-CATS di Jalan Stampin Timur. - Foto BH/NADIM BOKHARI
Zambry melawat Kolej Universiti i-CATS di Jalan Stampin Timur. - Foto BH/NADIM BOKHARI

KPT rangka pelan strategik 2025-2030

KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menggubal pelan strategik bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata, hala tuju itu dirangka oleh jawatankuasa khas diketuai oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang untuk dilaksanakan dalam tempoh 2025-2030.

Selain meneliti beberapa pembaharuan, beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan mengambil kira cadangan pelbagai pihak dalam usaha memperkasa lagi pendidikan tinggi negara.

"Sebelum ini kita ada dasar pendidikan untuk tempoh 2020-2025 yang akan berakhir tahun depan. Jadi, saya mengarahkan agar diwujudkan satu jawatankuasa khas bagi kita rangka perancangan strategik bagi tempoh 2025 hingga 2030 pula.

"Jawatankuasa itu sudah pun dibentuk bagi membolehkan kita meneliti perancangan sistem pendidikan tinggi dalam tempoh lima tahun itu yang akan dilancarkan tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Kolej Universiti i-CATS, di sini, hari ini.

Mengenai lawatannya ke Kolej Universiti i-CATS, Dr Zambry berkata, itu antara rangka program Semarak Kampus MADANI atau Jerayawara KPT, iaitu siri jelajah ke institusi pendidikan tinggi (IPT).

Menerusi program itu, beliau turun padang untuk melihat situasi sebenar dan mendengar rungutan pelaksanaan dasar pada peringkat akar umbi, bagi memastikan kebajikan pelajar dan kakitangan dititikberatkan.

Selain Kolej Universiti i-CATS, beliau juga mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Politeknik Kuching, Kolej Komuniti Santubong dan Kolej Komuniti Kuching.

Berita Harian X