Jumaat, 23 Februari 2024 | 2:16pm
Massila (kiri) selepas sesi perbincangan kerjasama bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden OISCA Antarabangsa, Nakano Etsuko.
Massila (kiri) selepas sesi perbincangan kerjasama bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden OISCA Antarabangsa, Nakano Etsuko.

UTeM terokai peluang kerjasama TVET, edu pelancongan di Jepun

KUALA LUMPUR: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerokai peluang kerjasama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bersama Jepun menerusi Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) Antarabangsa.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, berkata kerjasama dengan Jepun itu berteraskan dua agenda utama iaitu TVET dan edu pelancongan.

Katanya, kerjasama itu adalah pendekatan strategik yang turut menjadi titik mula kepada rangkaian lebih meluas selepas ini.

"Dalam konteks TVET kerjasama yang bakal terjalin adalah usahasama dalam bidang akademik dan penyelidikan inovasi semasa.

"Edu pelancongan itu adalah inisiatif UTeM kepada usaha pemerkasaan promosi dengan kerjasama negeri Melaka," katanya.

Tambahnya, usaha itu adalah impak berganda kerana promosi edu pelancongan yang tidak hanya tertumpu kepada UTeM semata-mata sebaliknya berkait langsung dalam usaha menyerlahkan lagi potensi pelancongan Melaka.

Kerjasama itu adalah hasil daripada perbincangan antara UTeM yang diwakili oleh Massila dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Antarabangsa (UGlobe) Prof Madya Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah.

OISCA diwakili oleh Presidennya Nakano Etsuko dan Setiausaha Agungnya Kitsuki Fumio.

Perbincangan itu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut disertai Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ia diadakan bersempena dengan lawatan kerja tujuh hari Ahmad Zahid ke Jepun.

Berita Harian X