Rabu, 21 Februari 2024 | 8:17am
Zawawi (enam kanan) bersama Mohd Hanafiah (tujuh kanan) ketika melakukan kunjungan hormat ke pejabatnya di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah. - Foto U-Science UMS.
Zawawi (enam kanan) bersama Mohd Hanafiah (tujuh kanan) ketika melakukan kunjungan hormat ke pejabatnya di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah. - Foto U-Science UMS.

KSTI, U-Science UMS bekerjasama perkasa pembudayaan sains pelajar luar bandar Sabah

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) komited meneruskan kolaborasi dengan U-Science, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam memperkasakan pembudayaan bidang sains khususnya pelajar di luar bandar.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim ketika menerima kunjungan hormat U-Science UMS diketuai Ketua pusat itu, Zawawi Tiyunin di pejabatnya.

U-Science dalam kenyataan berkata, tujuan kunjungan hormat itu adalah bagi membincangkan perancangan kerjasama pada tahun ini selain menyerahkan laporan pencapaian program anjuran bersama sepanjang tahun lalu.

Zawawi berkata, pihak UMS khususnya U-Science menghargai sokongan dan kerjasama rapat diberi KSTI dalam memperkasakan pembudayaan sains di negeri itu.

Sementara itu, Mohd Hanafiah berkata, inisiatif program U-Science amat bermanfaat kepada masyarakat di Sabah khususnya golongan muda yang bersekolah memandangkan terdapat trend menurun yang membimbangkan dalam pengambilan bidang sains bukan sahaja di negeri itu, malah di seluruh negara.

"Justeru bagi menangani isu ini, Bahagian Perancangan dan Pembudayaan Sains KSTI akan memainkan peranan yang besar kerana perlu ada inisiatif awal yang akan memberikan impak berpanjangan," katanya.

Berita Harian X