Jumaat, 2 Februari 2024 | 2:32pm
Murid SK Simpang gembira menggunakan kemudahan tandas yang baru dinaik taraf. Gambar BERNAMA
Murid SK Simpang gembira menggunakan kemudahan tandas yang baru dinaik taraf. Gambar BERNAMA

Murid SK Simpang gembira tandas sekolah dinaik taraf

TENOM: Walaupun berada jauh di pedalaman, namun murid-murid serta warga Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, berhampiran Ulu Tomani, di sini, tidak terkecuali daripada menikmati kemudahan tandas lebih baik, selesa dan ceria, sama seperti sekolah di bandar.

Sememangnya tandas sekolah itu yang siap dinaik taraf pada November tahun lalu di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) membawa kegembiraan kepada warganya kerana kemudahan selesa seperti itu sudah lama mereka nanti-nantikan.

Kegembiraan seramai 86 murid sekolah itu dapat dilihat apabila mereka begitu teruja menggunakan kemudahan tandas berwajah baharu dengan hiasan sederhana sekali gus menyelesaikan segala masalah berkaitan paip air dan pintu tandas rosak serta berbau busuk yang menjadi rungutan selama ini.

Bagi murid Tahun Enam, Morvinly Marius, beliau bersyukur apabila melihat kerja-kerja menaik taraf tandas sekolahnya siap kerana akhirnya dia dan rakan-rakannya dapat menggunakan tandas sekolah yang lebih selamat serta berfungsi dengan baik.

"Tandas sekolah yang ada sekarang jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dulu, kalau kami pergi tandas terutama ketika waktu hujan, pakaian kami akan basah kerana tiada laluan berbumbung dan lantai pun licin, tetapi sekarang tidak lagi," katanya.

Guru Besar SK Simpang, Dr Samuing Andawai berkata pihaknya tidak menyangka akan mendapat kemudahan tandas sekolah yang lengkap itu, selain ruangannya kemas dan cantik menerusi inisiatif KPM itu.

"Ini adalah kali pertama murid-murid di sini dapat menikmati kemudahan tandas seperti sekarang. Walaupun berada di pedalaman, tetapi mereka dapat menggunakan tandas sekolah lebih bagus dan selesa," katanya yang sudah menerajui sekolah itu selama lapan tahun.

Bagi guru, Datu Abdul Wahid Datu Kamaruddin, 34, projek menaik taraf tandas di setiap sekolah secara tidak langsung mampu meningkatkan kesedaran murid mengenai etika dan nilai kebersihan kerana kebersihan tandas adalah elemen penting yang perlu diterapkan dalam diri pelajar.

Ibarat kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya, Datu Abdul Wahid yang berasal dari daerah Kunak itu berpendapat institusi sekolah rendah khususnya adalah medan terbaik dalam mendidik generasi muda tentang rasa tanggungjawab menghargai kemudahan awam disediakan sekali gus mengekang budaya vandalisme.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Simpang, Ruzer Palau berkata kebersihan tandas amat penting kerana ia menjadi cerminan kepada masyarakat namun turut berharap, prasarana lain seperti membina pagar sekolah itu diberi perhatian dalam perancangan pembangunan akan datang.

Untuk rekod, sekolah rendah yang diwujudkan pada 2000 di Tenom, daerah yang terkenal sebagai pengeluar kopi terbaik di Sabah, terletak kira-kira 212 kilometer dari Kota Kinabalu itu dan mengambil masa lebih kurang empat jam perjalanan. - BERNAMA

Berita Harian X