Isnin, 29 Januari 2024 | 2:31pm
Murid seharusnya diberi peluang berkembang ikut usia dan tahap keupayaan sendiri. Gambar hiasan.
Murid seharusnya diberi peluang berkembang ikut usia dan tahap keupayaan sendiri. Gambar hiasan.

'Silibus sudah bagus tetapi banyak gangguan, tokok tambah'

BUKAN sekali dua ibu bapa dan guru di Malaysia mengeluh mengenai silibus pembelajaran Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) yang dianggap terlalu tinggi dan membebankan murid. Malah keluhan mengenai hal ini pernah menjadi punca seorang pempengaruh pendidikan menjadi tumpuan gara-gara kelantangannya menyuarakan isu berkenaan di laman sosial.

Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 7 November 2019, mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (semakan 2017), murid Tahun Satu hingga Tiga perlu mempelajari tujuh subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam (termasuk pelaksanaan Tasmik dalam Program J-QAF) atau Pendidikan Moral, Sains, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik dan mata pelajaran tambahan bahasa.

Keperluan itu walaupun selari dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KPSK), namun ia dilihat membebankan murid disebabkan banyak tokok tambah dalam silibus sedia ada. Apatah lagi, selepas COVID-19, berlaku ketirisan terhadap keupayaan murid menguasai pembelajaran.

Bagi Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Azizah Zain, berkata isu yang perlu diberi perhatian adalah silibus pembelajaran semua subjek yang perlu dicapai oleh murid Tahun Satu terlalu tinggi dan ia tiada kesinambungan dengan kandungan atau standard pembelajaran di prasekolah.

Azizah yang berkepakaran sebagai penyedia modul pengajaran di peringkat prasekolah, berkata sebenarnya pada peringkat prasekolah lagi, murid sudah terbeban apabila mereka perlu mencapai kemahiran 3M bagi memastikan tidak tercicir di Tahun Satu.

Yuran PIBG yang dikenakan kepada ibu bapa tidak membabitkan aspek keperluan prasarana sekolah, namun tidak boleh dinafikan PIBG boleh menyumbang kepada aspek itu. Gambar hiasan/Arkib NSTP
Yuran PIBG yang dikenakan kepada ibu bapa tidak membabitkan aspek keperluan prasarana sekolah, namun tidak boleh dinafikan PIBG boleh menyumbang kepada aspek itu. Gambar hiasan/Arkib NSTP

Dalam hal ini katanya, guru juga turut terbeban kerana mahukan murid cepat menguasai kemahiran 3M sekaligus, mereka tidak berpeluang menggunakan strategi yang boleh menarik minat murid untuk belajar mata pelajaran yang pelbagai.

"Umumnya, silibus untuk murid Tahun Satu bersesuaian dengan kemampuan kognitif mereka, namun keupayaan itu terganggu akibat perubahan dan tokok tambah dalam silibus kurikulum ketika ini.

"Misalnya, murid dipaksakan dengan soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam peperiksaan yang mencabar minda mereka untuk menjawab.

"Pada peringkat anak-anak kita berusia tujuh hingga sembilan tahun, cukuplah mereka menguasai konsep asas yang boleh mengukuhkan pengetahuan dan pemahaman mereka sebelum berganjak ke tahun seterusnya," katanya.

Tambahnya, silibus sukar memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi murid.

"Kebanyakan murid di Malaysia jika cuti sekolah merekalah yang paling seronok. Kenapa ini berlaku? Antaranya disumbangkan sistem pendidikan kita yang dari awal telah membebankan murid.

"Kita sepatutnya menjadikan sekolah suatu tempat seronok untuk belajar dan memberi impak positif terhadap perkembangan emosi mereka," katanya.

Justeru Azizah menyarankan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menyemak semula silibus setiap mata pelajaran untuk memastikan ia bersesuaian dengan tahap usia murid.

Katanya, sistem pendidikan seharusnya merangsang kemahiran berfikir murid melalui aktiviti menyeronokkan, bukan dengan soalan peperiksaan yang memeningkan untuk dijawab.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan dari Universiti Malaya (UM), Dr Abd Razak Zakaria berkata, bebanan silibus subjek yang semakin berat dilihat mampu memberi tekanan kepada murid pada usia masih muda.

Katanya, kurikulum yang sebegini melampaui tahap perkembangan diri murid. Sedangkan di Barat, kaedah pembelajaran di sekolah lebih santai selain tiada sebarang kerja rumah diberikan selepas waktu pembelajaran.

Begitu juga di Jepun katanya, murid di usia sembilan tahun hanya belajar mengurus diri, bersosialisi, menjaga persekitaran dan alam di samping belajar tentang nilai dan adab.

"Asas yang kukuh mengenai diri menjadikan kanak-kanak di Jepun lebih berdikari dan mengamalkan nilai yang tinggi berbanding di negara kita yang lebih mementingkan kandungan, sedangkan nilai hanya dititip secara sampingan," katanya.

Sistem pendidikan seharusnya merangsang kemahiran berfikir murid melalui aktiviti menyeronokkan, bukan dengan soalan peperiksaan yang memeningkan untuk dijawab. Gambar hiasan.
Sistem pendidikan seharusnya merangsang kemahiran berfikir murid melalui aktiviti menyeronokkan, bukan dengan soalan peperiksaan yang memeningkan untuk dijawab. Gambar hiasan.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga UM, berkata bilangan subjek yang diajar di sekolah rendah ketika ini memadai, namun isi kandungan dalam setiap subjek agak berat.

Tambahnya, pasca pandemik COVID-19 memberi impak yang sangat besar kepada kualiti pendidikan kerana ramai pelajar terkesan dan gagal menguasai kemahiran asas.

Abd Razak berkata, tiga domain asas dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) iaitu kognitif, afektif dan psikomotor perlu dikuasai mengikut tahap perkembangan diri.

"Bagaimana pun, silibus mata pelajaran yang terlalu berat membebankan murid sekiranya kemahiran asas Tahun Satu masih tidak dikuasai sepenuhnya.

"Masalah ini akan berlarutan dan dilanjutkan ke Tahun Dua dengan silibus yang lebih mencabar mengakibatkan murid akan terus tertinggal dalam arus perdana yang menuntut mereka menguasai kesemua kemahiran mengikut peringkat tahun dan usia," katanya.

Ditanya sama ada mata pelajaran yang sarat ketika ini selari atau perlu diubahsuai bagi memaksimumkan penerapan kemahiran asas 3M terhadap murid, Abd Razak berkata, semakan kurikulum sering dilaksanakan, namun persoalannya kini sejauh mana KPM melihat pengubahsuaian ini perlu hinggakan murid dikehendaki mematuhi garis panduan sistem sebagai ukuran pencapaian kecemerlangan.

Sedangkan katanya, murid seharusnya diberi peluang berkembang ikut usia dan tahap keupayaan sendiri. Hal ini disebabkan tahap perkembangan kanak-kanak tidak sama antara satu sama lain, manakala guru hanya perlu membimbing mereka bagi mencapai kemahiran asas 3M.

Dalam pada itu, tegasnya, penekanan terhadap nilai dan adab perlu diberikan juga bak pesan orang lama-lama melentur buluh biarlah dari rebungnya supaya modal insan terlahir di setiap peringkat adalah murid yang memiliki asas nilai tinggi.

"Jika dilihat kepada kesan jangka panjang, bukan banyaknya subjek yang dipelajari menjadi ukuran sebenar, tetapi kualiti murid selama mereka belajar di sekolah.

"Dalam sistem persekolahan di mana-mana negara sekali pun pasti akan ada murid yang menjadi mangsa keadaan dan gagal mengikut arus perdana sebagaimana yang diharapkan, namun mereka tidak seharusnya diketepikan dalam dunia pekerjaan," katanya.

Berita Harian X