Selasa, 23 Januari 2024 | 4:45pm
Dr Ahmad Fauzi bersama sebahagian kakitangan dalam Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2024 di Dewan Sultan Iskandar di sini. Gambar NSTP/ Mary Victoria Dass
Dr Ahmad Fauzi bersama sebahagian kakitangan dalam Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2024 di Dewan Sultan Iskandar di sini. Gambar NSTP/ Mary Victoria Dass

UTM ambil 120 pelajar perintis Fakulti AI bermula sesi akademik 2024/2025

JOHOR BAHRU: Seramai 120 penuntut tempatan akan menjadi kumpulan perintis bagi mengikuti pengajian di Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata UTM bakal menawarkan kursus berkaitan AI menerusi fakulti itu bermula sesi Akademik 2024/2025.

Katanya, 120 penuntut itu adalah kumpulan perintis yang akan mengikuti pembelajaran selama tiga tahun.

"UTM yakin pelbagai inisiatif dapat dilaksanakan kerana terdapatnya jumlah pakar sedia ada dalam bidang ini, di UTM sahaja melebihi 100 orang.

"Setiap universiti awam di negara ini juga memiliki tidak kurang 50 pensyarah yang memiliki kepakaran AI dalam pelbagai bidang, kita akan membangunkan AI berteraskan kepada kepakaran tempatan.

"Kami yakin universiti dan institusi pengajian tempatan lain juga akan mempelopori AI dan secara tidak langsung menjelang 2030, kita akan mencapai sasaran untuk melahirkan 200,000 bakat AI," katanya dalam sidang media sempena Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2024 di Dewan Sultan Iskandar, di sini.

Tambah Ahmad Fauzi, fakulti baharu itu berkonsepkan multidisiplin sekaligus mampu menjadikan AI sebagai pemangkin kepada inovasi dalam pelbagai bidang, antaranya industri pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim.

Katanya lagi, tenaga pakar fakulti ini termasuklah ahli akademik dari Fakulti Komputeran; Fakulti Kejuruteraan Elektrik; Fakulti Kejuruteraan Mekanikal; Fakulti Kejuruteraan Awam; Fakulti Alam Bina dan Ukur; Fakulti Pengurusan serta Fakulti Teknologi dan Informatik Razak.

"UTM menjadi menjadi perintis dan akan menjemput universiti atau pusat pengajian lain misalnya Universiti Sains Malaysia (USM) memiliki pakar dalam bidang perubatan, kita boleh membuat penyelidikan bersama," katanya.

Tambahnya, UTM sebelum ini sudah memiliki asas berkaitan AI termasuk kewujudan Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO) namun ia akan dipertingkatkan. Malah UTM sudah menghasilkan pelbagai inovasi berteraskan AI seperti aplikasi robotik untuk industri, aplikasi kesihatan dan perisian pintar sebelum ini.

Berita Harian X