Selasa, 23 Januari 2024 | 11:52am
KBAT diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2013, menggantikan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif yang digemblengkan dalam Kurikulum Kebangsaan sejak 1994. Gambar hiasan/Arkib NSTP.
KBAT diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2013, menggantikan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif yang digemblengkan dalam Kurikulum Kebangsaan sejak 1994. Gambar hiasan/Arkib NSTP.

KBAT bentuk insan hebat atau bawa mudarat?

TIDAK menghairankan jika di era "Eh, anak kau dapat berapa A?" ini ramai ibu bapa begitu mengutamakan pencapaian anak, hinggakan ada yang sangat kecewa jika mereka gagal mencatatkan keputusan cemerlang sekalipun baru di Tahun Satu.

Justeru tidak hairan apabila kebelakangan ini semakin ramai ibu bapa menuding jari kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kurikulum sebagai "dalang" di sebalik kegagalan anak mencatat prestasi cemerlang, khususnya bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga).

"Memang timbul rasa nak marah bila anak tunjukkan markah '0' pada kertas ujian Matematik. Saya ingatkan dia tak belajar, tapi apabila tengok soalan yang dikemukakan, rasa marah saya hilang diganti rasa kasihan," kongsi seorang ibu.

"Contohnya, ada soalan minta murid nyatakan buah kegemaran mereka dan jumlah buah itu. Akan tetapi, tidak dinyatakan soalan berpandukan tiga gambar buah, iaitu epal, pisang dan oren. Anak saya gemar buah anggur, jadi pastinya jawapan dia bukan epal, pisang atau oren. Maka '0' markah," tambah penjawat awam yang tidak mahu dikenali.

KBAT diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2013, menggantikan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif yang digemblengkan dalam Kurikulum Kebangsaan sejak 1994.

Bertujuan memupuk pemikiran aras tinggi sejak awal usia bagi memenuhi keperluan pendidikan zaman kini, pelaksanaan KBAT di Tahap Satu bagaimanapun dilihat oleh ibu bapa dan segelintir pihak berkepentingan sebagai kurang berkesan kerana tempoh tiga tahun itu sewajarnya ditumpukan kepada kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M).

Menurut seorang guru prasekolah yang mahu dikenali sebagai Cikgu Sue, pendidikan awal kanak-kanak digubal berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KPM dan semestinya anak-anak terbabit turut diasuh berfikir di luar kotak.

"Murid prasekolah turut didedahkan kepada KBAT. Misalnya semasa pembelajaran Sains Awal, belajar mengenai anggota badan, murid ditanyakan mengapa manusia perlukan hidung dan mereka perlu ceritakan kegunaan hidung dalam kehidupan seharian selain daripada fungsi menghidu. Proses ini memerlukan murid berfikir secara kritis dan kreatif," jelasnya.

Katanya, KBAT di peringkat prasekolah dilaksanakan bagi meneroka kefahaman serta menguji tahap kemahiran berfikir murid, di samping menggalakkan pembelajaran dan pengajaran interaktif.

Pengusaha sebuah tadika dikenali sebagai Puan Siti berkata di institusi itu, murid didedahkan kepada KBAT seawal usia lima tahun.

"Lebih menarik, soalan-soalan KBAT, khususnya yang berkaitan subjek Sains, akan kita kaitkan dengan kebesaran dan kekuasaan Allah," katanya.

(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/AIZUDDIN SAAD
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Pakar pendidikan sebelum ini melihat pelaksanaan KBAT dalam sukatan pelajaran sekolah rendah "tidak salah", kerana menurut mereka kaedah itu dapat melatih daya fikir kreatif dan kritis murid.

Bagaimanapun bagi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres) Mohd Azizee Hasan, Tahap Satu adalah terlalu awal untuk didedahkan kepada KBAT.

Katanya rata-rata murid Tahap Satu belum menguasai 3M dengan baik, sekali gus menyukarkan mereka untuk memahami dan menganalisis soalan beraras tinggi.

"Bayangkan, anak-anak ini dahulunya ketinggalan dari sudut pembelajaran di peringkat prasekolah ketika negara kita dilanda pandemik COVID-19 beberapa tahun sudah, dan apabila mereka melangkah masuk sekolah Tahun Satu, didedahkan pula kepada soalan KBAT.

"Apabila ini berlaku, sudah pasti mereka akan berasa tertekan kerana menulis dan mengeja pun masih bertatih. Apatah lagi ingin menjawab soalan-soalan KBAT," katanya.

Menurutnya, Kongres melihat perkara itu sebagai satu isu yang serius berikutan banyak aduan diterima daripada ibu bapa dan juga guru sendiri.

Tambah beliau, tahap pemahaman seseorang murid juga berbeza dan bergantung pada banyak faktor, antaranya darjah kecedasan otak (IQ), latar belakang serta persekitaran pembelajaran.

"Mungkin ada murid yang tahap pembelajarannya masih lemah dan memerlukan bimbingan penuh guru. Jadi hal ini memberi kesan langsung kepada murid yang sepatutnya berasa gembira untuk belajar. Namun, disebabkan ada soalan-soalan berbentuk KBAT ini, mereka jadi tertekan dan semakin hilang minat belajar," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya KBAT diaplikasikan kepada murid Tahap Dua manakala, Tahap Satu fokus kepada 3M.

"Oleh itu, saya berharap supaya sistem yang pernah diamalkan, iaitu Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dijelmakan kembali serta diberikan nafas baharu yang lebih segar dan memenuhi kehendak serta standard pendidikan terkini," katanya.

Sementara itu Pakar Perunding Psikologi Perkembangan (Kanak-kanak dan Remaja), Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai, berkata pada peringkat usia tujuh hingga sembilan tahun, kanak-kanak hanya mampu membuat keputusan mudah.

"Penerapan unsur-unsur abstrak dalam PdP (Pembelajaran dan Pengajaran) adalah tidak bersesuaian dengan tahap perkembangan kognitif (kemampuan mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu) mereka," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkembangan kognitif juga bergantung pada pendedahan awal murid semasa peringkat prasekolah, dan disebabkan oleh sukatan pelajaran prasekolah berbeza antara institusi, murid mempunyai kebolehan kognitif berbeza.

Selain itu, perkembangan kognitif KBAT murid Tahap Satu juga banyak bergantung pada aspek sosialisasi di rumah dan persekitaran mereka.

"Jika kaedah keibubapaan di rumah menyarankan anak agar tidak banyak bertanya, berhujah dan hanya mengikut arahan, kemungkinan membentuk KBAT dalam segenap aspek kehidupan adalah amat rendah.

"Ini akan membuatkan potensi perkembangan kognitif seperti membuat keputusan mudah dan menyelesaikan masalah tidak berlaku dengan baik," katanya.

"Bukan mudah untuk mengajar KBAT seperti yang dirancang kerana penerapan aspek ini memerlukan persediaan holistik semua pihak, iaitu sekolah, keluarga dan lingkungan masyarakat.

"Jika kita hanya mengharapkan KBAT terbentuk melalui proses pembelajaran formal di sekolah, ini satu kesilapan cukup besar kerana perkembangan kognitif KBAT perlu berlaku secara serentak di tiga lapisan sosial ini. Malah, lebih banyak masalah berlaku jika murid yang mempunyai masalah 3M tidak dibantu dan dipantau perkembangan KBAT mereka secara menyeluruh," tegasnya. - BERNAMA

Berita Harian X