Khamis, 18 Januari 2024 | 1:51pm
Hanafiah (lima kiri) bersama Shahril (empat kiri) pada majlis Program Per-Sense 2.0 : Tactile Book untuk pelajar berkeperluan khas dan Pelancaran STEM in Braille @ U-Science, Universiti Malaysia Sabah. - Foto FB U-Science UMS
Hanafiah (lima kiri) bersama Shahril (empat kiri) pada majlis Program Per-Sense 2.0 : Tactile Book untuk pelajar berkeperluan khas dan Pelancaran STEM in Braille @ U-Science, Universiti Malaysia Sabah. - Foto FB U-Science UMS

UMS hasilkan 10 buku tactile, STEM In Braille bagi pelajar berkeperluan khas

KUALA LUMPUR: Fakulti Perhutanan Tropika, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif serta U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghasilkan 10 buku tactile untuk pembelajaran pelajar bermasalah penglihatan.

Buku tactile ialah buku bertulisan braille dengan objek timbul yang menggambarkan isi kandungan buku sekali gus membantu pelajar kurang penglihatan untuk membaca dan merasai objek timbul sekali gus dapat mengetahui bentuk objek yang diceritakan.

Buku tactile bidang STEM untuk pembelajaran pelajar bermasalah penglihatan. - Foto FB U-Science UMS
Buku tactile bidang STEM untuk pembelajaran pelajar bermasalah penglihatan. - Foto FB U-Science UMS

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata proses penerbitan buku ini melalui beberapa siri semakan bersama guru sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Tuaran.

Beliau berkata, mereka membantu pelajar UMS menggunakan mesin braille dan juga mengajar asas huruf dan kod braille untuk di taip ke dalam buku tactile.

"Buku tactile ini menyampaikan topik sains iaitu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dalam bentuk penceritaan (storytelling) disokong dengan gambarajah timbul yang dihasilkan adalah dengan menggunakan bahan kitar semula yang selamat," katanya pada majlis perasmian dan penutupan Program Per-Sense 2.0 : Tactile Book untuk pelajar berkeperluan khas dan Pelancaran STEM in Braille @ U-Science, UMS.

Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim. Turut hadir, Dekan Fakulti Perhutanan Tropika, Prof Madya Dr Normah Awang Besar dan Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin.

Teks Naib Canselor dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Shahril Yusof.

Pada majlis sama turut dilancarkan STEM in Braille @U-Science membabitkan sebanyak 14 unit pameran terpilih dari Pusat Sains Negara disediakan dengan kapsyen atau label dalam bentuk braille ditaip oleh pelajar dengan bimbingan guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran, Putatan.

Difahamkan, setakat ini U-Science adalah Pusat STEM pertama di Sabah yang mempunyai kapsyen atau label braille pertama untuk pelajar berkeperluan khas.

Sementara itu, Mohd Hanafiah berkata, program Per-SENSE 2.0 adalah gabungan dari perkataan 'Perception' (persepsi) dan 'Sense' (rasa) serta membolehkan pelajar mempelajari subjek STEM dengan menggunakan multi-sensori.

Katanya, penghasilan buku tactile ini membolehkan pelajar masalah penglihatan berinteraksi dengan kandungan pembelajaran secara langsung, memperkukuh pemahaman dan daya ingatan mereka.

"Diharapkan 20 orang kanak-kanak berkeperluan khas dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran, Putatan dapat mengalami pembelajaran yang lebih menyeronokkan, efektif dan inklusif.

"Program ini juga memberikan pelajar peluang berkembang dan mencapai potensi mereka dengan cara sesuai dengan keperluan mereka. Ia juga adalah satu kaedah pembelajaran yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai Service Learning Malaysia-University for Society atau SULAM.

"Sebagai universiti awam yang kesembilan, UMS sememangnya menyumbang bakti dan memartabatkan pendidikan tinggi di Sabah, sekali gus menjadi simbol menara ilmu selaras dengan moto universiti "Bertekad Cemerlang," katanya.

Berita Harian X