Selasa, 19 Disember 2023 | 3:44pm
Kemerosotan Malaysia dalam skor PISA 2022 mencetuskan kebimbangan juga polemik dalam kalangan tokoh dan golongan pendidik. Gambar hiasan.
Kemerosotan Malaysia dalam skor PISA 2022 mencetuskan kebimbangan juga polemik dalam kalangan tokoh dan golongan pendidik. Gambar hiasan.
 KPM perlu memantapkan penguasaan 3M di peringkat asas sekolah, manakala Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dikembalikan. Gambar hiasan arkib NSTP
KPM perlu memantapkan penguasaan 3M di peringkat asas sekolah, manakala Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dikembalikan. Gambar hiasan arkib NSTP

Akui kelemahan, jangan tutup mata laporan PISA

KEMEROSOTAN Malaysia dalam skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 seperti dilaporkan media baru-baru ini mencetuskan kebimbangan juga polemik dalam kalangan tokoh dan golongan pendidik.

Meskipun pandemik COVID-19 dikatakan sebagai antara puncanya, namun ramai berpandangan wabak itu bukan isu utama kerana ia turut melanda seluruh dunia. Justeru jika semua negara merosot pada kadar serupa, tentunya ranking mereka turut terjejas, tetapi mengapakah terdapat masih ada negara yang mencatat peningkatan?

Mengulas mengenai isu itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal, Universiti UCSI University, Kuala Lumpur, Dr Othman Talib, berkata bukan sahaja skor merosot, tetapi ranking Malaysia juga jauh daripada purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Katanya, terdapat banyak negara berjaya kekalkan ranking dengan baik walaupun berhadapan dengan COVID-19 kerana menggunakan beberapa pendekatan yang komprehensif.

"Tidak boleh dinafikan negara yang mencatatkan skor dan ranking tinggi itu kerana mereka memiliki infrastruktur pendidikan digital yang baik selain akses internet yang mampu dimiliki dengan mudah serta Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) komprehensif.

"Negara-negara ini mempunyai bahan sokongan dalam talian yang sedia ada dan lengkap selain kurikulum digunakan juga fleksibel.

"Mereka juga berjaya menyemai budaya pembelajaran yang sempurna kepada murid menyebabkan murid terbiasa dengan komputer, mampu mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) dengan baik walaupun ketika guru mengajar tanpa buku teks," katanya.

Tegasnya, tidak wajar menyalahkan COVID-19 semata-mata terhadap kemerosotan prestasi murid tanpa apa-apa kupasan yang positif sebagai langkah memacu ke hadapan.

 Terdapat banyak negara berjaya kekalkan ranking dengan baik walaupun berhadapan dengan COVID-19 kerana menggunakan beberapa pendekatan yang komprehensif. Gambar hiasan arkib NSTP
Terdapat banyak negara berjaya kekalkan ranking dengan baik walaupun berhadapan dengan COVID-19 kerana menggunakan beberapa pendekatan yang komprehensif. Gambar hiasan arkib NSTP

Tambahnya, Malaysia memerlukan analisis secara kritikal dalam sistem pendidikan negara bagi mengenal pasti aspek yang memerlukan perubahan. Justeru dalam konteks laporan PISA 2022, terdapat banyak kelemahan yang memerlukan pembaikan.

"Antaranya, bagi subjek Matematik, pelajar Malaysia mendapat 409 mata berbanding purata 472 mata, manakala kemahiran membaca, hanya mendapat 388 mata berbanding purata 476 mata dalam kalangan negara OECD.

"Dalam Sains pula, prestasi purata adalah 416 mata, berbanding purata 485 mata di negara-negara OECD. Hanya satu peratus pelajar di Malaysia adalah pelajar terbaik dalam Matematik dan Sains berbanding di bawah purata OECD," katanya.

Othman berkata, perbezaan sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat juga turut menjadi antara faktor kepada kelemahan berkenaan iaitu pelajar yang mempunyai kelebihan sosio-ekonomi 25 peratus ke atas mengatasi murid kurang berkemampuan (25 peratus terbawah) dengan 82 mata skor dalam Matematik.

Katanya, pelajar perempuan didapati mengatasi lelaki dalam Sains, Matematik dan kemahiran membaca.

"Skor purata untuk pelajar Malaysia dalam literasi sains dilihat menurun sebanyak 22 mata berbanding dengan hasil 2018, malah Malaysia juga berada dalam kalangan negara dengan pelajar yang mempunyai sistem pembelajaran kendiri rendah iaitu lemah merancang, mengambil inisiatif, dan menilai kemajuan pembelajaran sendiri termasuk tidak tahu untuk mendapatkan sumber.

"Tiada matlamat dalam pembelajaran. Lebih menakutkan lagi apabila pelajar Malaysia berada di tangga 72 dari 76 negara," katanya.

Tegas Othman, dengan menutup mata daripada memahami isu-isu ini tanpa mengkaji puncanya, akan hanya menjadikan pembuat dasar negara akan terus lena dibuai mimpi.

Beliau berpendapat bahawa dasar pendidikan negara dilihat semakin tenggelam oleh sikap yang tiada rasa bersalah terhadap jutaan jiwa anak-anak.

"Saya ingin bertanya ke manakah perginya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dilantik dalam kalangan individu rapat dengan KPM, sedang perlantikan mereka diuar-uarkan. Apa kajian dan solusi MPPK?.

"Tiba masanya menteri berkaitan duduk merancang secara semak imbang, mengapa pelajar Malaysia tiada hala tuju, tidak mahu memikirkan pembelajaran sendiri, merudum skor Sains dan Matematik.

"Keputusan PISA 2022 menunjukkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), pendekatan bertema, pemikiran kreatif, inovatif dan lain-lain tidak pernah subur dalam sistem makro yang disediakan sejak merdeka," katanya.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berpandangan bahawa beberapa tindakan perlu diambil KPM bagi memperbaiki dan memastikan peningkatan skor pelajar.

Beliau berkata, antaranya tingkatkan kualiti guru di dalam pengajaran Sains, Matematik dan bahasa melalui bimbingan yang berterusan.

"Guru juga perlu mempelbagaikan pedagogi, tangani segera isu keciciran murid akibat pandemik dengan kurikulum yang menekankan penguasaan literasi dan numerasi terutama di prasekolah juga tahap satu.

"Kurikulum yang dinamik dan fleksibel mengukur kebolehan murid dan standard penguasaan mereka. Keciciran juga berlaku akibat ponteng kelas, ketidakhadiran ke sekolah," katanya.

Mohd Azizee berkata, KPM perlu meningkatkan lagi aspek infrastruktur dan digital sekolah bandar juga luar bandar serta dalam masa sama memberi penekanan kepada bidang STEM dengan menitikberatkan minat murid selain memanfaatkan teknologi digital untuk membangunkan sistem pendidikan yang kalis masa depan.

"Membina iklim pembelajaran di sekolah supaya murid minat dan seronok belajar juga perlu diberikan perhatian selain sokongan serta pembabitan ibu bapa dalam meningkatkan minat dan motivasi murid," katanya.

Hal sama ditegaskan Setiausaha Kesatuan Guru-Guru dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Mohamad Zapawi Mamat, yang berharap KPM perlu mengkaji kemerosotan dan memberikan cadangan penambahbaikan.

 Terdapat banyak negara berjaya kekalkan ranking dengan baik walaupun berhadapan dengan COVID-19 kerana menggunakan beberapa pendekatan yang komprehensif. Gambar hiasan arkib NSTP
Terdapat banyak negara berjaya kekalkan ranking dengan baik walaupun berhadapan dengan COVID-19 kerana menggunakan beberapa pendekatan yang komprehensif. Gambar hiasan arkib NSTP

Beliau berkata, KPM perlu memantapkan penguasaan 3M di peringkat asas sekolah, manakala Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dikembalikan.

"Tamatkan amalan murid yang lemah dan pandai dikumpulkan sekali dalam satu kelas. Kurikulum terutama literasi bahasa, Sains dan Matematik perlu ditambah baik.

"Diharapkan pembugaran kurikulum pendidikan yang baharu pada 2027 nanti mengambil kira keperluan dan kehendak PISA.

"Generasi anak-anak sekarang ini mahukan semua yang pantas dan segera. Murid-murid cepat bosan kerana mereka hidup bersama teknologi maklumat hujung jari," katanya.

INFO

Mengapa PISA penting dalam mengukur pencapaian akademik negara

1. Kajian antarabangsa yang memberi tumpuan kepada penilaian kemahiran membaca, Matematik dan Sains dalam kalangan pelajar berusia 15 tahun.

2. PISA penting untuk menilai sejauh mana pelajar berupaya mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan serta bukan bukan sekadar menghafal fakta.

3. Menyediakan perbandingan antarabangsa, penanda aras pembaikan sistem

4. Sebagai perkongsian pengetahuan amalan pendidikan global

Berita Harian X