Khamis, 14 Disember 2023 | 11:08am
Aida Farisah (kiri) dan Aida Fasihah Ahyat ceria selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-21 USIM di Nilai, semalam. NSTP/Mohd Amin Jalil
Aida Farisah (kiri) dan Aida Fasihah Ahyat ceria selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-21 USIM di Nilai, semalam. NSTP/Mohd Amin Jalil

Kembar seiras cemerlang bersama

NILAI: Pernah menjadi pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2017, pasangan kembar seiras, Aida Farisah dan Aida Fasihah Ahyat meneruskan kecemerlangan mereka apabila masing-masing berjaya menamatkan pengajian dan menerima segulung ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kedua-dua graduan yang berusia 24 tahun dan berasal dari Pekan, Pahang itu menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, pada Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-21, di Dewan Tuanku Canselor USIM, di sini.

Aida Farisah berkata, sebelum ini mereka mengambil Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) selama setahun di universiti sama sebelum meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

"Alhamdulillah, kami berdua berjaya memperoleh kejayaan bersama selepas menamatkan pengajian selama lima tahun di USIM.

"Segala susah payah sepanjang pengajian, akhirnya membuahkan hasil yang baik. Saya dan adik mengambil jurusan sama dan tidak pernah berenggang. Apabila ada tugasan berkumpulan, kami juga bersama," katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah itu, petang semalam.

Aida Farisah berkata, ketika ini dia terpaksa berenggang dengan adiknya itu disebabkan tuntutan kerja.

"Saya terpaksa duduk berasingan kerana menjalani latihan praktikal di sekolah menengah yang berbeza selama lima bulan.

"Kami perlu mendidik diri untuk tidak bergantung antara satu sama lain. Jika dulu ketika pengajian, bila kami bersama, orang akan tahu dengan kehadiran kami tetapi bila kami menjadi guru pelatih, watak itu berubah 100 peratus," katanya yang mempunyai selera sama iaitu bihun goreng.

Aida Fasihah pula berkata, mereka berdua pernah melakukan kerja sambilan untuk menampung yuran pengajian dan turut berkongsi hasil gaji.

Dia menegaskan impian mereka untuk bergelar pendidik berjaya apabila diterima menjalani latihan praktikal sebagai tenaga pengajar.

"Saya kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Long, Kajang, Selangor manakala kakak, Aida Farisah di SMK Seri Puteri, Seremban," katanya, yang berhasrat menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada masa depan.

Berita Harian X