Rabu, 13 Disember 2023 | 11:34am
Pengasas, Syahril Education, Syahril Othman. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Pengasas, Syahril Education, Syahril Othman. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Tinggal kerjaya guru, jadi usahawan buku

Petaling Jaya: Mahu menghasilkan sesuatu yang luar biasa di dalam hidup, seorang bekas guru tekad meninggalkan jawatan sebagai pendidik selama 25 tahun dan memilih menjadi usahawan buku.

Sejak meninggalkan profesion perguruan itu pada 2020, bekas guru Bahasa Melayu sebuah sekolah antarabangsa, Syahril Othman, 48, sudah menghasilkan 127 jenis buku latihan kemahiran Bahasa Melayu.

Antara buku itu adalah Malay Listening, Malay Reading, Malay Speaking, Malay Practice Writing, Malay Basic Writing, Malay Grammar, Malay First Language, Malay Primary dan Malay Imbuhan.

Beliau yang juga pengasas Syahril Education, berkata tidak menyesal dengan keputusan itu kerana pengalaman sebagai guru sebelum ini, digunakan sebaiknya untuk menghasilkan buku kepada pelajar sekolah.

Katanya, buku latihan dihasilkan sudah digunakan di lebih 100 sekolah antarabangsa peringkat rendah dan menengah di seluruh negara sejak beberapa tahun ini.

"Saya mula menulis buku pada 2017 dan selepas mendapati buku yang dihasilkan memenuhi silibus dan format pihak sekolah terutama sekolah antarabangsa saya semakin bersemangat.

"Pendapatan juga bertambah ketika itu hasil daripada jualan buku dan ia membuatkan saya nekad berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada penghasilan buku dengan jenama sendiri," katanya.

Syahril yang berasal dan menetap di Batu Pahat, Johor berkata, dengan menulis buku, dia yakin dapat terus menyebarluaskan lagi ilmu dan pengalaman yang ada sepanjang bergelar pendidik.

Katanya, buku yang dihasilkan berbeza dengan buka sedia ada di pasaran kerana memenuhi kehendak pihak sekolah terutama sekolah antarabangsa dan keperluan murid.

"Ada pelbagai jenis kemahiran belajar Bahasa Melayu yang saya bangunkan dengan idea sendiri, tetapi mengikut format dan silibus ditetapkan oleh Cambridge untuk sekolah antarabangsa dan sekolah rendah kebangsaan.

"Saya turut selitkan kosa kata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya murid lebih mudah faham," katanya.

Beliau berkata, antara buku latihan kemahiran Bahasa Melayu yang unik dihasilkan dengan ideanya sendiri adalah Malay Listening dan Malay Speaking.

"Dua buku ini mendapat sambutan kerana buku latihan Malay Listening dapat mengasah kemahiran dan kecekapan pelajar mendengar dan memahami Bahasa Melayu dengan berkesan.

"Kelebihan buku Malay Speaking pula, ia lebih memberi tumpuan untuk meningkatkan komunikasi, berinteraksi, bercakap dan berbual antara satu sama lain," katanya.

Syahril berkata, selain menghasilkan buku yang dijual kepada sekolah antarabangsa, beliau turut menghasilkan buku latihan untuk sekolah kebangsaan.

Katanya, terdapat 35 jenis buku yang dihasilkan untuk murid sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

"Semua buku ini dipasarkan menerusi akaun media sosial syarikat dan mendapat sambutan baik daripada ibu bapa.

"Saya berhasrat menulis buku untuk pelajar sekolah kebangsaan peringkat menengah pula selepas ini selain mahu memasarkan buku sedia ada kepada lebih 300 sekolah antarabangsa di seluruh negara," katanya.

Terdapat lapan wakil jualan Syahril Education, iaitu pengedar buku utama di negara ini yang memasarkan produk ini ke sekolah antarabangsa di seluruh Malaysia.

Justeru, beliau berharap, pelajar, guru, ibu bapa dan pihak sekolah sama ada sekolah antarabangsa atau sekolah kebangsaan supaya memanfaatkan ilmu dan kemahiran pembelajaran Bahasa Melayu yang dihasilkan.

Pengasas, Syahril Education, Syahril Othman. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Pengasas, Syahril Education, Syahril Othman. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Syahril berkata, inovasi baharu pembelajaran Bahasa Melayu yang dihasilkannya lebih berkesan berikutan, terdapat banyak cara dan kaedah pembelajaran ketika ini yang lebih interaktif.

"Belajar Bahasa Melayu ini ada banyak cara dan usahlah bergantung semata-mata kepada kaedah konvensional yang sedia ada dalam pendidikan arus perdana sedia ada.

"Sistem pembelajaran Bahasa Melayu sentiasa berubah mengikut peredaran zaman jadi saya mahu mendidik anak bangsa melalui bahasa," katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui mengenai lebih lanjut berkenaan buku latihan oleh Syahril Education boleh menghubungi talian 011-36644907; Shopee https://bit.ly/syahrileducation; TikTok www.tiktok.com/@ syahril_othman.

Berita Harian X