Isnin, 11 Disember 2023 | 1:57pm
Keberkesanan DLP seharusnya dikaji semula bagi melihat sejauh mana ia memberi kesan terhadap penguasaan dan minat murid terhadap subjek STEM. - Foto hiasan/arkib NSTP
Keberkesanan DLP seharusnya dikaji semula bagi melihat sejauh mana ia memberi kesan terhadap penguasaan dan minat murid terhadap subjek STEM. - Foto hiasan/arkib NSTP

DLP perlu disemak keberkesanannya

KEBERKESANAN Program Dwibahasa (DLP) yang dimulakan sejak 2016 seharusnya dikaji semula bagi melihat sejauh mana ia memberi kesan terhadap penguasaan dan minat murid terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Berdasarkan penilaian itulah kemudiannya Kementerian Pendidikan (KPM) boleh memulakan langkah penyesuaian, rombakan serta menilai semula garis panduan pelaksanaan.

Pensyarah di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, berkata pelaksanaan program yang memasuki tahun kelapan itu wajar diukur impak keberkesanannya.

Katanya, impak itu harus dilihat menerusi penilaian terhadap generasi pusingan pertama persekolahan yang sudah mengikuti DLP sejak Tahun Satu hingga Tahun Enam (kini berusia 13 tahun) serta pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima yang kini berusia 20 tahun.

Mohd Nazri menegaskan terdapat sekolah yang menawarkan program DLP, namun guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik masih tidak dapat menyampaikan pelajaran dalam bahasa Inggeris dengan baik sehingga menyebabkan pembelajaran dua mata pelajaran kritikal itu menjadi bosan dan membebankan pelajar.

"Jelasnya sekarang, pelaksanaan DLP perlu diseragamkan dan dinilai semula dari aspek kemampuan sekolah, guru, murid serta bahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.

"Kalau mahu memastikan DLP terus relevan dalam sistem pendidikan hari ini, sesuaikan semula pelaksanaannya dan pantau guru serta murid yang mengikuti kelas DLP supaya ia tidak berakhir dengan impak negatif.

"Mungkin sekolah tertentu mempunyai tenaga guru yang cekap dalam DLP, bagaimanapun masih terdapat sekolah yang melaksanakan DLP ini berada di tahap rendah penguasaannya," katanya.

Justeru Mohd Nazri berkata, dalam hal ini KPM perlu menguatkuasakan semula penilaian penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru yang mengajar subjek STEM serta Bahasa Inggeris seperti sebelum ini.

Untuk rekod, KPM pernah memperkenalkan program 'Professional Up- skilling of English Language Teachers' (Pro-ELT) untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru opsyen berlandaskan piawaian Komanwel atau 'Common European Framework of Reference for Languages' (CEFR). Berdasarkan ujian itu, tahap penguasaan yang ditetapkan bagi guru opsyen Bahasa Inggeris adalah pada tahap minimum penggunaan secara berkesan atau CEFR C1.

 Foto hiasan/fail NSTP
Foto hiasan/fail NSTP

Mohd Nazri berkata, secara amnya murid cepat menguasai topik walau perkara baharu jika guru mampu menyampaikan dengan baik.

"Jika mahu mengehadkan kelas DLP kepada satu di setiap sekolah, mungkin perlu dilihat keperluan murid, sumber guru serta kemampuan sekolah untuk menyampaikannya.

"Andai sesebuah sekolah memiliki prasarana serta sumber guru yang cekap, maka adalah tidak wajar untuk mengehadkan kelas dan sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun beliau melihat bahasa Melayu seharusnya dapat digunakan sepenuhnya sebagai medium pembelajaran berdasarkan kepada kegagalan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang pernah diguna pakai pada 2003, namun sudah dimansuhkan pada 2012.

Dalam hal ini katanya, kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak boleh dipertikaikan. Justeru sewajarnya bahasa Melayu dapat digunakan sepenuhnya malahan dengan kemajuan teknologi, proses pemahaman dan penterjemahan dapat dilaksanakan dengan mudah.

"Mengembalikan sepenuhnya pengajaran dalam bahasa Melayu adalah tindakan yang baik dalam memartabatkan kembali bahasa ibunda kita," katanya.

Malah katanya, menggerakkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah bersamaan dengan gerakan serupa di negara lain yang memartabatkan bahasa ibunda masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti, Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani, memasukkan murid ke kelas DLP perlu berteraskan kepada kemampuan mereka.

Katanya, ada sesetengah ibu bapa mahukan anaknya menyertai DLP walaupun penguasaan bahasa Inggeris lemah. Hal ini katanya menyebabkan proses pembelajaran si anak menjadi sukar.

" DLP juga sebenarnya menimbulkan beberapa kesukaran kepada guru termasuklah proses pertukaran guru. Hal ini sudah kerap disuarakan persatuan guru.

"Ia juga menyebabkan segolongan murid tercicir kerana di sekolah mereka diasingkan mengikut kelas sama ada DLP ataupun tidak," katanya.

Tegas Kamal Shukri, DLP adalah jelmaan kepada PPSMI yang sudah pun dimansuhkan. Justeru ia perlu disemak bukan hanya keberkesanan tetapi kewujudannya.

Tambahnya, walaupun pada asasnya ia disebut sebagai 'suka rela' tetapi sekolah tertentu perlu mengemukakan surat tunjuk sebab kepada pegawai pendidikan daerah jika tidak mewujudkan kelas aliran itu.

Bagi Kamal Shukri, meneruskan DLP tidak membuktikan apa-apa kerana sebelum ini bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam sesi pembelajaran sama ada di sekolah atau universiti.

Malah dalam proses itu bukan sedikit pelajar bukan Melayu yang mampu mendapat kelas pertama dan ia bukti kukuh bahasa Melayu bukan menghalang kejayaan.

Katanya, menentang DLP bukan bermaksud menolak pengukuhan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran di negara ini kerana diakui kepentingannya. Bagaimanapun dalam usaha itu jangan sampai merendahkan keupayaan bahasa ibunda.

"Bagaimana kita hendak memartabatkan bahasa Melayu supaya tidak hanya dipandang sebagai bahasa seni dan sastera semata-mata?

"Bahasa Inggeris memang penting tetapi jangan jadikan bahasa Inggeris segala-galanya.

"Di Barat, misalnya di New York ramai yang mahir berbahasa Inggeris tetapi duduk di tepi longkang dan mengemis. Kemajuan haruslah disokong oleh faktor-faktor lain juga dan bukan hanya bergantung kepada bahasa Inggeris semata-mata," katanya.

Berita Harian X