Sabtu, 9 Disember 2023 | 4:37pm
Mohd Shukri pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen MSU Ke-32 di Dewan Canselor, MSU Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Mohd Shukri pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen MSU Ke-32 di Dewan Canselor, MSU Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Pencapaian graduan TVET bukti usaha MSU berhasil

Shah Alam: Pencapaian pelajar terutamanya aliran Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-32 membuktikan, usaha universiti itu memperkasakan bidang TVET berhasil.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata pencapaian yang memberangsangkan itu hasil kerjasama universiti dengan industri.

"Sebagai universiti, kita menyasarkan untuk menjadi tempat pengurusan bakat 'talent management' aliran TVET selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

"Itu yang kita ingin buat dalam konteks MSU pada masa akan datang," katanya pada pemberita selepas Majlis Konvokesyen MSU ke-32 di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, usaha MSU menjadikan program 'double degree' menjadikan universiti itu sebagai 'talent hub for education' terutamanya di Asean turut membuahkan hasil.

"Kita bekerjasama dengan banyak universiti di Indonesia untuk memperkasakan 'talent hub' antara institusi dan juga antara negara.

"Alhamdulillah dalam konteks konvokesyen pada kali ini, saya lihat banyak usaha kita dengan berpuluh universiti di sana berhasil yang mana salah seorang penerima Anugerah Presiden adalah pelajar dari Indonesia.

"Ini membuktikan, usaha kita untuk membina Malaysia sebagai 'talent hub' mendapat kesan yang baik," katanya.

Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 2,531 graduan daripada 118 program pengajian menerima skrol pengajian masing-masing.

Berkenan hadir menyempurnakan majlis konvokesyen berkenaan adalah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang juga Canselor MSU.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Mikail Mazleen, 25, berkata, usaha dan kerja keras sepanjang pengajiannya terbalas apabila terpilih menjadi penerima anugerah berkenaan.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa walaupun saya tidak cemerlang ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan usaha serta doa dan dorongan ibu bapa, saya berjaya.

"Ketika di sekolah menengah, saya adalah atlet sekolah dan mewakili zon Keramat serta Kuala Lumpur dalam bola sepak bawah 18 tahun. Saya memang fokus kepada bola sepak dan belajar di saat akhir ketika SPM.

"Di MSU, saya didorong oleh rakan-rakan sekelas yang lebih cemerlang. Mereka banyak mempengaruhi saya untuk belajar dan berfikir di luar kotak," kata graduan Sarjana Muda dalam Kewangan (Kepujian).

Mikail berkata, beliau kini bekerja di bahagian kewangan dan perbendaharan di Danone Malaysia yang memfokuskan pasaran Jepun.

Berita Harian X