Jumaat, 8 Disember 2023 | 2:42pm
“Antara lain menjadi warganegara yang beradab dan bertanggungjawab serta berdaya saing pada peringkat global” - Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan
“Antara lain menjadi warganegara yang beradab dan bertanggungjawab serta berdaya saing pada peringkat global” - Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan

Konsep 'karamah insaniah' tunjang Kurikulum Persekolahan 2027

Putrajaya: Anjakan paradigma dalam kurikulum persekolahan Malaysia perlu dilakukan segera agar selari perubahan semasa dunia, selain dapat menyediakan generasi yang kompetensi, bersahsiah, kukuh jati diri, berdaya tahan dan kalis masa hadapan.

Ia disebabkan kurikulum sekolah adalah nadi utama mencorakkan generasi akan datang melalui sistem pendidikan yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan yang bukan sahaja kaya budaya ilmunya, tetapi juga tinggi sahsiah dan adab dalam membentuk generasi MADANI.

Justeru, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata konsep 'karamah insaniah' yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti, diangkat menjadi tunjang dalam membangunkan Kurikulum Persekolahan 2027 agar selari dengan Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Katanya, pembangunan Kurikulum Persekolahan 2027 juga merujuk kepada dasar negara yang utama seperti Dasar Pen- didikan Kebangsaan, Dasar Ka- nak-kanak Negara, Dasar Perpaduan Negara, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Pendidikan Digital.

"Jadi, kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 akan berorientasikan kompetensi menggalakkan pembelajaran aktif murid dan menyediakan pengalaman pembelajaran serta penilaian yang lebih autentik serta bermakna," katanya pada Program Bual Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027, kelmarin.

Kurikulum ini juga, katanya, dapat memenuhi keperluan industri dan meningkatkan kebolehpasaran murid dengan fokus utama adalah proses pembelajaran yang membekalkan pengalaman pembelajaran dan kehidupan, bukan semata-mata kepada keputusan pada akhir.

Selain itu, kurikulum berkenaan direka bentuk dengan bermatlamatkan melahirkan 'Insan Sejahtera' yang mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek, sentiasa membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan menghargai perpaduan dan keharmonian kaum serta menghormati kepelbagaian.

"Antara lain, menjadi warganegara yang beradab dan bertanggungjawab serta berdaya saing pada peringkat global," katanya pada program itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan (KPM), Azman Adnan.

Bukan setakat itu sahaja, Fadhlina menjelaskan, KPM akan memperkenalkan tujuh domain atau teras utama dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang berupaya melahirkan insan sejahtera dan mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek kehidupan.

Katanya, tujuh domain itu ialah perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat yang mengambil kira semua elemen merentas ku- rikulum dan enam tunjang dalam kerangka Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

"Fokus pembelajaran dan pembentukan karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan disesuaikan setiap tahap, bermula pra sekolah sehingga ke tahap pendidikan menengah atas yang membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

"Kurikulum prasekolah akan dibangunkan dengan fokus melahirkan murid berkebolehan berkomunikasi dan bersosialisasi dengan yakin, memiliki sifat kasih sayang, berdaya tahan, mampu menyelesaikan masalah dan berkeinginan untuk belajar," katanya memaklumkan murid akan terus diberi ruang untuk pembelajaran dalam medium bahasa Melayu dan Inggeris.

Pendidikan rendah Tahap I membabitkan murid Tahun 1 dan 2, memfokuskan penguasaan literasi dan numerasi serta pembangunan karakter.

Tahap II pula membabitkan murid Tahun 3 dan 4, dengan tumpuan penguasaan kemahiran mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan masalah dengan pembangunan karakter menjadi fokus utama.

"Murid pada tahap ini berpe- luang mempelajari dan meneroka elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti Kemahiran Hidup, Teknologi dan Digital lebih awal. Tahap III pula membabitkan murid Tahun 5 dan 6, akan fokus penguasaan kemahiran menganalisis serta menghasilkan inovasi sebagai persediaan ke sekolah menengah," katanya.

Katanya, pendidikan Menengah Rendah membabitkan pelajar Tingkatan 1 hingga 3 yang akan diberi peluang meneroka pelbagai bidang ilmu dan didorong mengenali minat serta potensi diri.

"Pendidikan Menengah Atas membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang akan disediakan dengan laluan bidang ingin diceburi ke peringkat pengajian tinggi dan dipersiapkan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat, selain diperkenalkan dengan pengalaman bekerja melalui perantisan.

"Setiap tahap turut ditekankan pembentukan karakter, di mana ia akan dilaksanakan sebagai satu slot masa khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali, bermula daripada prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas," katanya yang turut menekankan penguasaan literasi asas membaca, menulis dan mengira (3M) seawal yang mungkin.

Dilaksana berperingkat Fadhlina berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan berperingkat bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah, kurikulum kebangsaan baharu akan diperkenalkan pada 2026.

"Namun, elemen dalam kurikulum baharu ini akan dibincang, dibahas, diperinci dan diulas secara tuntas melalui Program Jelajah Pendidikan Masa Hadapan dan sesi libat urus yang bersasar pada masa terdekat," katanya.

Pembaharuan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 juga diharap dapat memberi kesan kepada pencapaian Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) akan datang.

Ini kerana negara belum mencapai kedudukan sepertiga teratas seperti dihasratkan dalam PPPM 2013-2025.

Berdasarkan keputusan PISA 2022, kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi antara faktor penyumbang utama kemerosotan itu.

Azman memaklumkan, hasil kajian PISA yang dilaksanakan setiap tiga tahun kecuali pada 2021 susulan pandemik itu, purata skor direkodkan bagi pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik turun sebanyak 31 mata kali ini, Literasi Saintifik (22) dan Literasi Bacaan (27) berbanding PISA 2018.

Keputusan pentaksiran kali ini, katanya, turut menyaksikan Malaysia mencatat 52.1 peratus dalam penguasaan minimum Aras 2 hingga tertinggi Aras 6 bagi Literasi Saintifik, manakala Literasi Matematik pula 41.0 peratus dan Literasi Bacaan, 41.9 peratus.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada 81 negara peserta program anjuran Organisation for Economic Cooperation Development (OECD) itu turut merekodkan kemerosotan purata pencapaian bagi tiga domain literasi dalam PISA 2022 dengan pandemik COVID-19 juga antara faktor penyumbang utama.

Sebanyak 58 negara merosot dalam purata pencapaian Literasi Matematik, termasuk Amerika Syarikat (AS), Hong Kong, Indonesia, Jerman dan Kanada, manakala 36 negara dalam Literasi Saintifik, termasuk AS, Perancis, Thailand dan Finland serta 55 negara, termasuk AS, Australia, Ireland, Jerman, Kanada dan Switzerland bagi Literasi Bacaan.

Purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik mencatat skor 409 mata kali ini berbanding 440 mata pada 2018, Literasi Saintifik dengan 416 mata berbanding 438 dan Literasi Bacaan mencatat skor 388 mata berbanding 415 dalam tempoh itu.

"Purata pencapaian OECD juga turun dengan merekodkan skor 472 mata kali ini berbanding 489 pada 2018 bagi Literasi Matematik, Literasi Saintifik dengan 485 mata berbanding 489 serta Literasi Bacaan yang mencatatkan skor 476 mata berbanding 486, " katanya.

Sebanyak 199 sekolah serta institusi pendidikan di Malaysia mengambil bahagian berdasarkan persampelan berstrata oleh OECD dalam PISA 2022, membabitkan penyertaan 7,069 murid lahir pada 2006 yang dipilih rawak di bandar dan luar bandar.

Pencapaian literasi Mengulas lanjut, Azman berkata, purata pencapaian murid perem- puan Malaysia mengatasi murid lelaki dalam ketiga-tiga domain literasi, walaupun skor dicatat kedua-dua jantina itu menunjuk- kan penurunan pada 2022 berbanding 2018.

Bagi Literasi Matematik, murid perempuan mencatatkan skor 414 mata kali ini, turun 29 mata berbanding 443 pada 2018, manakala murid lelaki merosot sebanyak 33 mata apabila merekodkan skor 404 mata berbanding 437.

Bagi Literasi Saintifik, murid perempuan merekodkan skor 423 mata dalam PISA 2022, turun 18 mata berbanding 441 pada 2018 dan murid lelaki merosot 24 mata dengan mencatat skor 410 mata berbanding 434.

Bagi Literasi Bacaan, murid perempuan mencatat skor 404 mata dalam pentaksiran kali ini, turun 24 mata berbanding 428 pada 2018, manakala murid lelaki merosot 29 mata dengan merekodkan skor 373 mata berbanding 402.

Dari segi pencapaian murid Malaysia mengikut status sosioekonomi (SES) pula, skor dicatat golongan SES tinggi mengatasi SES rendah dalam ketiga-tiga domain, iaitu 458 mata (SES tinggi) berbanding 375 (SES rendah) bagi purata pencapaian Literasi Matematik, 463 mata berbanding 385 (Literasi Saintifik) dan 435 mata berbanding 357 (Literasi Bacaan).

Bagi pencapaian murid mengikut lokasi sekolah, skor di bandar lebih tinggi berbanding luar bandar bagi purata pencapaian semua domain terbabit. Skor dicatatkan sekolah di bandar adalah 424 mata berbanding 399 dalam purata pencapaian Literasi Matematik, Literasi Saintifik (431 berbanding 413) dan Literasi Bacaan (401 berbanding 389) dengan perbezaan skor antara 12 hingga 25 mata.

Dalam usaha meningkatkan purata pencapaian Malaysia mengikut pusingan PISA yang seterusnya, Azman berkata, KPM akan mengadakan perbincangan dan libat urus dengan rakan strategik serta pihak berkepentingan.

"Selain itu, KPM akan melakukan jerayawara serta sesi webinar dengan OECD supaya penambahbaikan dapat dilakukan dan lebih bersedia pada masa depan," katanya.

Berita Harian X