Rabu, 6 Disember 2023 | 3:39pm
Sebahagian pelatih Asrama Bahagia yang menyertai program Dahlia Women Empowerment 2023 di UiTM Puncak Alam. Gambar ihsan UiTM
Sebahagian pelatih Asrama Bahagia yang menyertai program Dahlia Women Empowerment 2023 di UiTM Puncak Alam. Gambar ihsan UiTM

UiTM Puncak Alam santuni pelatih Asrama Bahagia

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Dahlia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam menyantuni seramai 20 orang pelatih Asrama Bahagia, Kuala Lumpur bersempena Dahlia Women Empowerment Program 2023.

Pendekatan membawa pelatih-pelatih ke Kolej Dahlia adalah sebahagian daripada usaha memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa selain bagi mengurangkan jurang antara pelatih dengan masyarakat.

UITM dalam satu kenyataan berkata, walaupun kebanyakan mereka agak canggung dengan sambutan yang diterima, namun masing-masing kelihatan berbesar hati.

"Program itu antara lain diharap dapat mengurangkan stigma dan seterusnya menunjukkan sokongan masyarakat kepada mereka.

"Mereka turut diberi peluang menyertai Forum Kebajikan Wanita 'Dating Violence' yang dikendalikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor, Fatimah Sham.

"Forum itu antara lain membincangkan isu-isu berkaitan keganasan wanita," katanya.

Selain itu mereka turut diberikan maklumat mengenai Program Pra-Diploma iaitu inisiatif UiTM memberi laluan khas kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak memenuhi syarat asas untuk meneruskan pengajian di universiti awam.

"Perkongsian ini bertujuan memupuk semangat para pelatih untuk menyambung pengajian selepas mereka keluar daripada asrama nanti," katanya.

Berita Harian X