Isnin, 27 November 2023 | 3:29pm
Perbincangan mengenai keperluan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masih hangat walaupun ia dimansuhkan sepenuhnya pada 2021. Gambar hiasan arkib NSTP
Perbincangan mengenai keperluan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masih hangat walaupun ia dimansuhkan sepenuhnya pada 2021. Gambar hiasan arkib NSTP

"UPSR kaedah lama, kecemerlangan tidak terhad kepada akademik sahaja"

Perbincangan mengenai keperluan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masih terus berlaku meskipun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah beberapa kali mengumumkan peperiksaan itu tidak akan dikembalikan selepas dimansuhkan sepenuhnya pada 2021.

KPM sebaliknya mahu memfokuskan kepada pembangunan murid secara keseluruhan melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang disifatkan lebih holistik dan berupaya mengetengahkan potensi diri murid berbanding hanya bergantung kepada keputusan akademik sahaja.

Bagaimanapun keputusan KPM itu masih menimbulkan polemik berterusan sehinggakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu catatan di Facebook miliknya minggu lalu turut menegaskan tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar murid.

Malah, Kerajaan Negeri Sarawak pada 1 November lalu turut bercadang merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan UPSR di semua sekolah kerajaan di negeri itu. Malah langkah berkenaan sedang diteliti kerana percaya ujian itu penanda aras sebenar untuk menilai prestasi pelajar.

Bagi Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NICE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Kama Shaffeei, berkata ibu bapa dan masyarakat perlu memberi ruang dan peluang kepada sekolah untuk mengaplikasi PBD dengan mengetahui, memahami dan menyokong pelaksanaannya berdasarkan standard yang ditetapkan.

Katanya, PBD ini dilaksanakan setelah melalui pelbagai proses tindakan dan penilaian yang ditetapkan oleh KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

" Penerimaan semua pihak dalam pelaksanaan PBD ini penting bagi memastikan pembelajaran murid-murid diteruskan mengikut kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang yang dipilih.

"Apa yang perlu difahami dalam pentaksiran begini, ketelusan guru sebagai pentaksir dan penilai amat diperlukan bagi memastikan murid yang dinilai mempunyai ketrampilan diri dan memenuhi syarat kemasukan ke sesebuah institusi," katanya.

Katanya, dalam kaedah pentaksiran sebegitu juga seorang guru perlu mempunyai ciri-ciri selayaknya bagi memastikan tahap penguasaan murid dinilai secara adil.

Hal ini katanya bagi memastikan murid-murid yang benar-benar layak mengikuti pembelajaran bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

 Kerajaan Negeri Sarawak sedang teliti sistem penilaian sendiri ganti UPSR. Gambar arkib NSTP
Kerajaan Negeri Sarawak sedang teliti sistem penilaian sendiri ganti UPSR. Gambar arkib NSTP

Justeru itu katanya, pelaksanaan PBD amat penting kepada murid semasa pembelajaran di sekolah rendah. Malah tahap perkembangan kognitif murid dan keperluan penilaian PBD masa kini adalah selaras dengan perkembangan dunia global.

"Kaedah pentaksiran holistik ini perlu difahami dan dikuasai oleh guru dan mereka perlu diberi latihan secukupnya bagi memastikan proses penilaian dan pentaksiran dilaksanakan mengikut piawai yang ditetapkan oleh LPM dan KPM.

"Dalam konteks kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pula kemasukan murid adalah melalui Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

Tanpa UPSR katanya, kemasukan murid ke SBP atau MRSM bergantung kepada tahap kebolehan dan kecenderungan seseorang murid itu dan PPSR adalah alat yang digunakan bagi memastikan kemasukan ke SBP atau MRSM juga ke sekolah menengah.

Tegasnya, semua pihak perlu mempunyai pemikiran yang positif dan membantu pendidikan anak-anak demi masa depan mereka.

Sementara itu bagi mantan guru, Md Rasid Senin Abu dari Temerloh, berkata pelaksanaan PBD menuntut kejujuran daripada guru dan pihak sekolah berbanding peperiksaan UPSR.

Hal ini katanya disebabkan, ada kala keghairahan mengejar ranking boleh menyebabkan kecurangan dalam melaksanakan pentaksiran ke atas murid dan boleh berlaku tanpa disedari.

"Logiknya, tidak ada mana-mana guru atau sekolah yang mahu meletakkan murid atau sekolah mereka dalam ranking yang rendah.

"Sedaya upaya mereka akan berusaha untuk menaikkan nama sekolah.

"Disebabkan itu ketelusan dan kejujuran sama ada guru dan pihak sekolah amat diperlukan bagi memastikan pentaksiran yang dilaksanakan tiada kelompangan,"katanya.

Md Rasid berkata, meskipun KPM sudah beberapa kali menegaskan tidak akan mengembalikan UPSR namun dalam kalangan guru sangat ramai yang mahu peperiksaan itu dikembalikan kerana ia adalah kaedah termudah bagi melihat pencapaian murid.

Malah katanya, ia juga kaedah yang mudah digunakan untuk memilih murid masuk ke SBP atau MRSM disebabkan peperiksaan itu dijalankan secara berpusat. Selain itu UPSR katanya mengurangkan bebanan tugas guru berbanding pelaksanaan PBS dan PBD.

 Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu catatan di Facebook miliknya minggu lalu turut menegaskan tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar murid. Gambar arkib NSTP.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu catatan di Facebook miliknya minggu lalu turut menegaskan tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar murid. Gambar arkib NSTP.

Katanya dalam sistem pentaksiran di sekolah, soalan ujian dibuat oleh guru sendiri dan ia tentu sahaja akan sedikit sebanyak dibuat bagi memastikan anak didik mereka berjaya. Hal ini berbeza dengan peperiksaan berpusat seperti UPSR.

"Justeru itu, saya bersetuju sekiranya UPSR dikembalikan semula dalam sistem pendidikan negara.

"Dalam keadaan sekarang murid tidak mempunyai asas pembelajaran yang kuat di sekolah rendah dan akan terus masuk ke sekolah menengah.

" Sudahlah UPSR tiada, PT3 juga dimansuhkan, jadi murid-murid tidak ada hala tuju atau matlamat pembelajaran yang bersungguh-sungguh.

"Hal sebegitu menyebabkan mereka tidak melihat kepentingan pelajaran, menjejaskan kehadiran ke kelas malah mungkin juga ada sekolah yang merekodkan peratusan kehadiran murid yang rendah," katanya.

Berita Harian X