Sabtu, 25 November 2023 | 7:56pm

Lebih 60 karya kartunis antarabangsa dipamer di TAR UMT 29 November-13 Disember

KUALA LUMPUR: Kartun yang dihasilkan kartunis terkenal dari Poland, Izabela Kowalska-Wieczorek akan dipamerkan di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), bermula Rabu ini hingga 13 Disember.

Kartun lain yang akan turut dipamerkan ialah hasil karya Seyran Caferli dari Azerbaijan, Saman Ahmadi serta Bahram Arjomandnia, dari Iran dan tidak ketinggalan kartun yang dihasilkan kartunis tempatan, Muhammad Hassan Ismail (Pheno) dan Anuar Hassan (Sireh).

Ia adalah antara lebih 60 lukisan kartun daripada kartunis di seluruh dunia yang akan menyertai pameran di V Gallery, Blok V, kampus utama TAR UMT di Wangsa Maju.

Diadakan sempena Pameran Kartun Antarabangsa: Ke Arah Jalan Raya Yang Selamat, ia dianjurkan bersama TAR UMT dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Lukisan kartun dipilih daripada 346 penyertaan yang membabitkan 51 negara dengan sejumlah 800 hasil seni bertemakan keselamatan jalan raya itu adalah anjuran bersama MIROS dan Balai Kartun Rossem.

Pameran selama dua minggu ini adalah inisiatif program Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Industri Kreatif, TAR UMT yang menyasarkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar, kakitangan universiti dan orang awam.

Dekan fakulti berkenaan, Dearna Kee June Chen, berkata kartun adalah antara alternatif komunikasi yang boleh digunakan untuk mendidik pengguna jalan raya.

"Pameran ini bukan sahaja mempamerkan hasil seni kartunis terkenal dari serata dunia tetapi kami berharap ia dapat menerapkan mesej mengenai keselamatan jalan raya menerusi kartun.

"Kami juga berharap orang ramai mengambil peluang untuk mengunjungi pameran ini yang akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga jam 5 petang," katanya.

Maklumat lanjut, hubungi Sekretariat Pameran Kartun Antarabangsa: Ke Arah Jalan Raya Yang Selamat menerusi [email protected] atau [email protected].

Berita Harian X