Isnin, 20 November 2023 | 8:55pm
Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau. - Foto BERNAMA
Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau. - Foto BERNAMA

MRSM Ranau terima pelajar Mac depan

KOTA KINABALU: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau yang siap pada September lalu akan menerima kumpulan pertama pelajar pada Mac tahun depan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pengambilan pelajar Tingkatan Satu dan empat itu melibatkan seramai 180 orang pelajar, untuk MRSM yang terletak pada ketinggian 721 meter dari aras laut.

"MRSM Ranau ini boleh memuatkan seramai 450 pelajar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MRSM Ranau daripada PETRONAS kepada Kerajaan Sabah dan MARA, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

MRSM Ranau yang mula dibina pada penghujung 2018 dengan pembiayaan daripada PETRONAS, terletak di kaki Gunung Kinabalu dan 122 kilometer dari Kota Kinabalu dengan perjalanan mengambil masa lebih dua jam.

MRSM Ranau ialah MRSM kelima di Sabah dan yang ke-57 di seluruh negara.

Asyraf Wajdi berkata, cadangan untuk menamakan semula MRSM Ranau kepada nama tempatan akan dibawa untuk perbincangan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Soal nama ini ia perlu melalui proses tapi sudah tentu pandangan daripada Datuk Seri Masidi Manjun sangat baik, mengambil kira sentimen dan sejarah yang bertapak dalam kalangan kaum Kadazan Dusun di Ranau.

"Pembinaan di sana (MRSM Ranau) pun mengambil kira aspirasi untuk membantu lebih ramai anak-anak Bumiputera dalam kalangan masyarakat tempatan," katanya.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya yang dibacakan Masidi berkata, MRSM Ranau itu dilihat akan membantu memacu pendidikan di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar negeri itu.

Beliau berkata, MRSM Ranau akan dapat membuka ruang dan peluang luas kepada pelajar tempatan untuk mengambil bidang sains serta bidang pengkhususan akademik berasaskan teknologi untuk memastikan lebih ramai pelajar terlibat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Kerajaan negeri, kata beliau, amat berbangga kerana PETRONAS telah berjaya merealisasikan projek MRSM Ranau dengan menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran terkini yang akan dikelola oleh MARA.

"Saya yakin konsep MRSM ini bukan saja memberi bangunan sekolah yang terbaik tetapi juga kakitangan akademik yang terbaik dan akan memberi manfaat bukan saja kepada Ranau tetapi juga daerah lain di sekelilingnya," kata beliau. – BERNAMA

MRSM Ranau dibina oleh PETRONAS. - FotoBERNAMA
MRSM Ranau dibina oleh PETRONAS. - FotoBERNAMA

Berita Harian X