Selasa, 28 March 2023 | 10:24am
 Bagi guru yang berhadapan dengan murid bermasalah mereka perlu lebih membimbing dan tidak menyisihkan pelajar begitu. Gambar hiasan arkib NSTP
Bagi guru yang berhadapan dengan murid bermasalah mereka perlu lebih membimbing dan tidak menyisihkan pelajar begitu. Gambar hiasan arkib NSTP

"Cikgu pesan tak cemerlang tak apa, asal rajin"

Sejak beberapa tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah pun memansuhkan dasar pengasingan kelas. Hal ini bersandarkan kesedaran pengasingan kelas yang dibuat berdasarkan prestasi akademik akan memberi kesan psikologi terhadap kanak-kanak sekolah.

Namun, dasar terbaharu itu masih meninggalkan cabaran tersendiri kepada guru kerana potensi setiap murid dalam sebuah kelas berbeza-beza.

Apatah lagi dalam suasana pembelajaran hari ini, jumlah murid dalam sesebuah kelas ada yang menjangkau hingga 50 orang. Justeru kemungkinan ramai pelajar terabai amat tinggi.

Bagi murid yang pandai mereka mungkin masih mampu untuk menguasai pembelajaran. Namun bagi murid kurang kemampuan akademik mereka tetap rasa tersisih dalam kalangan rakan dan memerlukan bantuan juga bimbingan guru.

Bagi Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, berkata dalam konteks semasa, meskipun dasar pengasingan kelas sudah tidak wujud, realitinya masih terdapat murid yang bermasalah dan ketinggalan jauh berbanding rakan sekelas atas pelbagai sebab yang ada kalanya tidak pun berkait dengan faktor akademik.

Justeru katanya, bagi guru yang ditugaskan menangani murid bermasalah mereka perlu lebih membimbing dan tidak menyisihkan pelajar begitu.

"Misalnya seperti dulu kalau kita labelkan kelas belakang ini ada masalah disiplin, maka secara automatik mereka berbuat demikian dan mengiyakan bahawa memang mereka bermasalah.

"Pengalaman saya sendiri sebagai seorang guru selama 10 tahun, setiap pelajar mempunyai kecerdasan atau potensi yang berbeza. Cuma guru atau ibu bapa terlepas pandang potensi mereka.

"Semua pelajar ada keinginan untuk berjaya sama seperti rakan mereka yang lain, jadi guru perlu bantu tunjukkan jalan," katanya.

Mohd Nazri berkata, ada sesetengah kes murid sengaja melakukan kesalahan disiplin sebagai protes kepada ibu bapa.

Berkongsi pengalamannya, Mohd Nazri berkata beliau pernah berhadapan kes seorang murid yang sengaja melakukan kesalahan kerana kecewa ibu bapa tidak mahu menjaganya sebaliknya menghantar dia tinggal bersama nenek.

Katanya, tindakan ibu bapanya itu menyebabkan murid berkenaan rasa tersisih sekali gus mempengaruhi emosi dan pelajarannya. Dalam hal beginilah bimbingan guru amat diperlukan.

Tegas Mohd Nazri, jika bertugas di kelas yang kurang kemampuan akademik, guru disarankan mengajar hanya selama 10 atau 15 minit saja. Selebihnya pergilah kepada setiap pelajar dan buat latihan pengukuhan.

"Berasaskan pengalaman sendiri, itu yang saya buat. Jadi saya mampu kenal pasti masalah murid, adakah subjek itu sukar buat mereka atau sebenarnya ada masalah lain.

"Satu lagi kita perlu tahu ada sesetengah murid ini mereka tidak minat nak sekolah tapi didesak oleh ibu bapa. Jadi perlu pendekatan berbeza untuk tarik minat mereka," katanya.

Katanya, dalam konteks ini pendekatan terhadap murid yang pandai dan kurang bijak secara akademik perlu berbeza kerana daya kemampuan juga tidak serupa.

Hal yang sama ditegaskan Pensyarah di Jabatan Pendidikan Dasar dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr Abd Razak Zakaria, menyifatkan ada sesetengah murid yang lemah dari segi akademik tetapi tingkah laku mereka masih boleh diasuh dan dibentuk.

"Maka fahami permasalahan yang membelenggu mereka dan beri bantuan pendidikan. Tidak perlu memaksa murid belajar di tahap luar kemampuan mereka," katanya.

Katanya, guru perlu mengajar secara santai bagi mendidik jiwa mereka menghormati guru. Antara kaedahnya, jangan kedekut untuk meraikan murid bagi menarik perhatian. Selain itu jauhi kata-kata kesat kerana ia hanya akan mencetuskan dendam.

Berkongsi pengalaman bertugas sebagai guru selama 17 tahun, Abd Razak berkata dia pernah berhadapan dengan murid yang kerap tidak membawa buku ke sekolah.

"Pernah murid datang sekolah tanpa bawa satu pun buku. Dia memang tidak mahu belajar. Saya berikan dia duit suruh beli buku dan buat latihan yang diberikan.

"Tapi esoknya dia masih tiada buku. Saya bagi lagi duit suruh beli buku dan beli pen sekali. Saya minta dia buat latihan yang diberi.

"Hari ketiga saya masuk ke kelas, dia sendiri datang kepada saya memberitahu yang dia ada buku hari ini dan ucap terima kasih kepada saya kerana duit beli buku," katanya.

Sementara itu bagi Penolong Pendaftar Kanan UiTM, Mohd Nazri Michael Nasarula berkata bimbingan dan sokongan guru membantunya berada di kedudukan hari ini.

Katanya, motivasinya untuk belajar didorong oleh gurunya Mohd Nazri Abdul Rahman yang kini bergelar Prof Madya. Malah, beliau yang asalnya bernama Michael Nasarula memilih nama gurunya itu sebagai nama baharu ketika memeluk Islam beberapa tahun lalu.

Bercerita mengenai pengalaman belajar di sekolah menengah dahulu, Muhd Nazri Michael mengakui bukan pelajar cemerlang malah disebabkan dasar pengasingan kelas, dia ditempatkan di kelas belakang.

"Motivasi belajar itu datang apabila nampak kesungguhan Cikgu Nazri. Kami anak-anak di Sabah ini bukan datang dari keluarga berkemampuan, tapi Cikgu Nazri beri kami kelas tambahan percuma.

"Saya masih ingat, buku-buku latihan saya dan rakan yang lain pun Cikgu Nazri beri secara percuma. Berkat usaha cikgulah kami menelaah, memang beliau tidak lokek ilmu.

"Saya bukan pelajar cemerlang tapi cikgu pesan, tak perlu cemerlang tapi perlu lebih rajin," katanya.

Katanya, beliau memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1999 dan menyambung pengajian hingga peringkat ijazah pertama sebelum mula berkerja pada 2008.

Justeru beliau sangat percaya perkara yang paling penting bagi seorang pelajar adalah hormat kepada guru dan kuatkan usaha.

"Ambil segala peluang yang ada dengan pantas bertindak. Semua kita mampu berjaya," katanya.

Berita Harian X