Selasa, 7 Februari 2023 | 2:44pm
Keberkesanan program DLP yang dimulakan sebagai menggantikan PPSMI pada 2016 masih terus menjadi polemik.
Keberkesanan program DLP yang dimulakan sebagai menggantikan PPSMI pada 2016 masih terus menjadi polemik.

Keberkesanan DLP dipersoal

SEJAUH mana Program Dwibahasa (DLP) membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid?

Hal ini menarik perhatian kerana DLP walaupun dimulakan sejak 2016, ia masih dipertikaikan kerana didakwa mampu mencipta jurang kaya-miskin dalam masyarakat selain tidak menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris.

Baru-baru ini misalnya, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad dalam hantaran di laman sosialnya turut menekankan hal serupa malah katanya, DLP tidak memberi situasi menang-menang sebaliknya, ada sebahagian pelajar yang terkorban.

Dalam hal ini, Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti, Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata DLP adalah 'hantu' Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan ia tidak sepatutnya wujud bersesuaian dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) 1971.

"Sesuai DPK, bahasa Melayu akhirnya lengkap sebagai bahasa pengantar ilmu sehingga di peringkat universiti termasuk bagi bidang sains dan teknologi selama 20 tahun sejak tahun 1983.

"Manakala sejumlah 5.5 juta pelajar dihasilkan melalui pembelajaran dalam bahasa Melayu sehingga tahun 2002. Ratusan ribu lulusan sarjana dan kedoktoran terhasil daripada DPK yang menyumbang kepakaran bagi pembangunan negara.

"Malangnya apabila PPSMI diperkenal, semua cerita kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khasnya dalam bidang sains dan teknologi hancur sekelip mata," katanya.

Katanya, kewujudan DLP tidak memandaikan bangsa tetapi sebaliknya apa yang berlaku adalah 'tangan yang luka tetapi kaki yang dibalut'.

Beliau menyifatkan DLP diwujudkan penuh dengan "tipu helah atau muslihat", bermula dengan soal selidik berat sebelah dan pelaksanaan yang kononnya sukarela selain didakwa tidak memerlukan kelulusan Kabinet kerana ia bukan dasar.

"Pelbagai bantahan, memorandum dan pertemuan dengan pimpinan kerajaan terdahulu termasuk Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan sudah dibuat namun semuanya membisu dan tiada keberanian untuk memansuhkan DLP.

"Berdasarkan maklumat terkini, semua subjek sains seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) masih diajarkan dalam bahasa Inggeris. Sedangkan IPGM menyediakan bakal pendidik yang akan mengajar dalam sistem pendidikan di Malaysia.

"Justeru dengan status quo itu, ia membayangkan DLP akan diteruskan lagi yang kini sudah dilaksanakan di 1,000 buah sekolah berbanding pada awalnya hanya 300 buah sekolah.

"DLP ini umpama sedang 'membunuh' bahasa negara sendiri," katanya.

Susulan itu, beliau berharap kerajaan hari ini dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat melihat kembali dan mengkaji kesilapan dalam dasar pendidikan itu demi masa depan negara serta generasi muda Malaysia.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, turut berpendapat objektif sebenar pelaksanaan DLP harus disemak semula bagi memastikan keberkesanannya mencapai tahap optimum.

Katanya, dua perkara perlu dilihat oleh KPM iaitu adakah objektifnya untuk memastikan pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris atau untuk meningkatkan penguasaan Sains dan Matematik yang tidak berkait pun dengan subjek Bahasa Inggeris.

"Kalau hendak memperkukuhkan bahasa Inggeris, perkasakan subjek berkenaan kerana jika bahasa Inggeris ini diajar dalam Sains dan Matematik, ia tidak membantu sama sekali.

"Adakah dengan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pelajar itu akan cemerlang? Sebenarnya, belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu juga pelajar akan cemerlang," katanya.

Tambahnya, Pelan Pembangunan Pendidikan hampir tamat menjelang tahun 2025, justeru KPM perlu ambil kesempatan ini untuk mengkaji semula arah tuju pendidikan negara.

Apatah lagi katanya, terdapat sekolah yang tidak mampu menyediakan guru pakar mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akhirnya terpaksa menggunakan bahasa Melayu.

Jelasnya, DLP mewujudkan ketidaksamarataan peluang pada masa hadapan untuk pelajar.

"Kajian lepas menunjukkan PPSMI yang pernah dilakukan dulu merekodkan prestasi pelajar menguasai Sains dan Matematik juga merundum. Jadi jelas secara umum bahawa DLP ini belum mencapai hasrat yang diinginkan oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu bagi seorang guru, M Khalimi Dalhan, DLP katanya tidak mendatangkan masalah sekiranya seorang pelajar itu sudah menguasai Bahasa Inggeris, jadi mudah untuknya memahami apa yang diajar oleh guru Sains dan Matematik.

Malah katanya tiada istilah 'double standard' atau jurang kerana ia adalah pilihan kepada murid.

"Pihak sekolah boleh memohon kepada KPM melalui Pejabat Pendidikan Daerah jika mahu menawarkan kelas DLP dengan syarat ibu bapa dimaklumkan dengan tawaran berkenaan," katanya.

Tegas M Khalimi, apa yang membebankan ketika ini ialah di peringkat sekolah, panitia Sains dan Matematik perlu menggandakan tenaga kerana terdapat dua bahasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk ditangani.

Katanya, apabila soalan dibuat, panitia perlu memikirkan dua set kertas soalan dan ini dilihat sebagai satu bentuk pembaziran.

"Perkara ini memang agak membebankan pihak pengurusan panitia sekolah, malah jika bahan diperoleh dalam bahasa Melayu, ia perlu diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.

"Bagi pelajar pun ia membebankan kerana ada dua kelas yang sama dengan bahasa berbeza," katanya.

Tegas M Khalimi, isu DLP ini sebenarnya berkaitan dengan dasar pendidikan negara dan bukannya keberkesanan terhadap pelajar kerana polemiknya antara KPM dan ibu bapa (pengundi) selain memperjuangkan jati diri.

Justeru beliau secara peribadi melihat DLP dan sebelumnya PSMI berlaku disebabkan oleh campur tangan politik.

"Tetapi jika kerajaan boleh tegas, wajibkan saja semuanya dalam bahasa Melayu kecuali untuk subjek bahasa Tamil, Cina dan bahasa kaum Bumiputera yang lain," katanya.

Berita Harian X