PETALING JAYA: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Fakulti Industri Kreatif (FOCI), City University Malaysia bersama empat pakatan industri dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik dengan pengalaman industri terkini.
MoU berkenaan dimeterai bersama Horizon Film Entertainment, Professional Film Workers Association of Malaysia (PROFIMA), LiL Studios dan Evo Pictures, baru-baru ini.
MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Perkhidmatan Korporat dan Kemampanan, City University Malaysia, Dr Rosnizah Shaari yang mewakili Fakulti Industri Kreatif bersama-sama wakil dari industri.
Pemangku Timbalan Canselor dan juga Dekan FOCI, City University Malaysia, Prof Dr Mustaffa Halabi Azahari, berkata pendedahan melalui MoU berkenaan boleh menjadi nilai tambah dan meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila mereka tamat pengajian nanti.
"Saya berharap perjanjian ini dapat memberi peluang, terutama kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik dengan pengalaman industri terkini, seterusnya memberi nilai tambah serta meningkatkan kebolehpasaran mereka," katanya.
Turut hadir Shahir Sulaiman (Horizon Film Entertainment), Khalil Saleh (PROFIMA), Fazli Yasin dan Mohammed Ilham Kamil Mohd Rosli (Lil Studios) dan Sheryn Yen (EVO Pictures).
Pakatan industri berkenaan juga menzahirkan keterujaan dan menyatakan kesanggupan mereka memberi pendedahan kepada pelajar FOCI untuk mendalami industri perfileman, terutama dari segi teknologi terkini.
Pada majlis sama, promosi filem 'Hani' dari LiL Studios turut diadakan dan penonton dapat menyaksikan kerja di belakang tabir dan trailer filem.
Majlis turut diselitkan dengan sesi perkongsian pengalaman oleh pengarah dan penerbit filem, Fazli Yasin dan Ilham Kamil daripada LiL Studios serta barisan pelakon filem 'Hani' iaitu Cat Farish, Shasha Abedul dan Yuichiro Kinjo.