Isnin, 5 Disember 2022 | 12:17pm
Konvokesyen ke-62 UM menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,863 graduan.
Konvokesyen ke-62 UM menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,863 graduan.

Graduan diseru perkasakan pembudayaan ilmu

KUALA LUMPUR: Universiti adalah tunjang utama kepada pembentukan sistem dan kapasiti berorientasikan parameter serta anjakan masa depan yang menuntut perancangan dan model baharu.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata ini termasuklah memperkasa jalinan dan kelestarian impak penyelidikan serta keluhuran ilmu, sebagai perintis dalam usaha untuk melakar dimensi dan kepimpinan baharu dalam pentas penciptaan ilmu, terutamanya dalam bidang kritikal dan berimpak tinggi.

"Universiti bukan sahaja berperanan untuk melahirkan graduan holistik dan berkeupayaan tinggi, namun keperluan untuk menyuntik sistem pembelajaran dan pengajaran berasaskan nilai serta kapasiti futuristik dalam membentuk modal insan komprehensif sekali gus memacu kelestarian pembangunan negara menjadi tonggak utama, menerajui era pendidikan dan pengajian tinggi yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian, dalam ucapan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Melaya (UM) ke-62 di sini, hari ini.

Pembukaan sidang pertama istiadat itu diisiytiharkan, Canselor UM, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Al-Maghfur-Lah.

Mohd Hamdi berkata, pembudayaan ilmu adalah penting dalam mempersiapkan graduan untuk menempuh alam pekerjaan yang kian sengit dan mencabar.

"Malahan, dengan budaya memperkasakan ilmu, graduan akan terus mengejar kecemerlangan jitu dan meningkatkan semangat pembangunan diri untuk menempa kejayaan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, ilmu dan kemahiran yang diperolehi oleh graduan mampu melengkapkan graduan menjadi pekerja cemerlang dalam kerjaya dipilih.

"Namun, memiliki segulung ijazah bukan lagi satu impian utama bagi segelintir individu pada hari ini. Keadaan ini berpunca daripada sikap dan pemikiran yang memperlekehkan ilmu.

"Ketidakpercayaan terhadap kelayakan akademik dalam menjanjikan gaji yang lumayan menyebabkan ramai pelajar hari ini tidak berminat menyambung pelajaran di menara gading," katanya.

Katanya, antara cabaran dihadapi universiti masa kini ialah keengganan pelajar menyertai bidang pekerjaan kritikal yang memerlukan ilmu dan kemahiran khusus dan boleh diperolehi dengan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

"Segelintir pelajar mungkin lebih tertarik dengan pendapatan tinggi yang boleh diperoleh melalui penciptaan kandungan sendiri dalam media sosial atau dengan pendapatan yang lebih mudah diperolehi melalui ekonomi gig," katanya.

Beliau berpendapat, keadaan ini adalah salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh pihak tertentu di sektor pendidikan.

Istiadat kali ini, UM menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,863 graduan.

Daripada jumlah itu, seramai 479 graduan Ijazah Kedoktoran, 2,225 graduan Ijazah Sarjana termasuk Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 3,926 graduan Ijazah Sarjana Muda, dan 1,233 graduan Diploma Lanjutan, Diploma Eksekutif dan Diploma.

Berita Harian X