Khamis, 30 Jun 2022 | 3:23pm
Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Engku Rajhan Engku Ismail (tengah) menunjukkan keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 ketika ditemui di Kompleks YIK Tunjong, hari ini. NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI
Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Engku Rajhan Engku Ismail (tengah) menunjukkan keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 ketika ditemui di Kompleks YIK Tunjong, hari ini. NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI

31 calon STAM 2020 di Kelantan peroleh gred Mumtaz

KOTA BHARU: Seramai 31 calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) memperoleh keputusan Mumtaz dalam semua subjek.

Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail, berkata seramai 1,028 calon yang mendaftar di 24 pusat bagi menduduki peperiksaan berkenaan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, 106 calon atau 10.31 peratus memperoleh keputusan Jayyid Jiddan; 263 calon (25.58 peratus) memperoleh Jayyid; 63 calon (6.13 peratus) memperoleh Maqbul; dan 565 calon (54.96 peratus) memperoleh Rasib.

"Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) Maahad Muhammadi Lelaki memperoleh GPS 2.41, diikuti Maahad Muhammadi Perempuan memperoleh 3.34 dan Maahad Pengajian Islam memperoleh 3.49," katanya pada sidang media selepas Pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM Tahun 2021 di Kompleks YIK Tunjong, di sini, hari ini.

Engku Rajhan berkata, keputusan STAM 2021 menunjukkan penurunan sebanyak 9.83 peratus berbanding tahun 2020.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh kekangan pembelajaran ketika pandemik COVID-19, selain masalah peranti dan penggunaan internet yang terpaksa dihadapi oleh calon.

"Pada masa sama, pencapaian gred purata peringkat YIK juga menunjukkan penurunan daripada 3.08 pada tahun 2020 kepada 3.55 pada tahun 2021, selain pencapaian lulus mengikut pangkat turut menunjukkan penurunan iaitu 45.04 peratus berbanding 54.87 peratus pada tahun lalu," katanya.

Berita Harian X