Selasa, 28 Jun 2022 | 11:55am
Lim Guan Eng bersama peguam mewakilinya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi semalam
Lim Guan Eng bersama peguam mewakilinya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi semalam

'Pemalsuan dokumen dibuat atas arahan' - saksi kes rasuah Guan Eng

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Consortium Zenith) memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, beliau mengetahui tindakan memalsukan invois dan baucar bayaran adalah satu kesalahan jenayah berat, ketika perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Guan Eng, Gobind Singh Deo; Ibrahim Sahari, 58, berkata tindakan itu diambil mengikut arahan Pengarah Consortium Zenith, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli serta bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith, Azli Adam bagi kepentingan syarikat.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-29 itu menafikan, beliau bersama Zarul Ahmad dan Azli 'master fabricator' atau dalang dalam membuat rekaan membabitkan isu berkenaan.

Gobind: Kamu penipu dan penyangak?

Ibrahim: Tidak

Gobind: Kamu jenis ikut arahan untuk membuat kesalahan?

Ibrahim: Saya ikut arahan untuk kepentingan syarikat.

Gobind: Apa yang dilakukan Zarul (arahan palsukan invois), awak tidak pernah hentikan perkara itu?

Ibrahim: Tidak.

Gobind: Ketiga-tiga kamu (Ibrahim, Zarul Ahmad dan Azli) dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakam keterangan?

Ibrahim: Ya.

Gobind: Tahu boleh dituduh di mahkamah?

Ibrahim: Ya.

Ibrahim juga memaklumkan tidak mengetahui wang ditunaikan menggunakan invois dan baucar bayaran palsu diberikan kepada siapa atau tujuan apa.

Ditanya mengenai penama dikenali 'Datuk Seri G' (ahli perniagaan, Gnanaraja) yang dipercayai penerima wang itu, Ibrahim berkata, individu itudiperkenalkan oleh Zarul Ahmad di pejabatnya.

Pada Jumaat lalu, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah, beliau menggunakan orang tengah untuk menyerahkan RM2 juta yang diberi nama 'coklat' kepada Guan Eng, kerana bimbang memegang wang tunai dalam jumlah banyak.

Saksi pendakwaan ke-23 dilaporkan berkata, sumbangan itu sebahagian daripada wang permintaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan, iaitu 10 peratus keuntungan projek syarikat dianggarkan RM30 juta.

Guan Eng memintanya menggunakan perantara jika ingin memberikan wang itu kerana tidak mahu membabitkan ahli perniagaan berkenaan akibat bimbang dipantau SPRM.

Susulan itu, Zarul Ahmad mencadangkan ahli perniagaan dan 'orang' Barisan Nasional (BN) dikenali Gnanaraja atas faktor mempunyai kekebalan kerana mengenali Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak serta bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut, di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang di Tingkat 21 Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di KOMTAR.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah, bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens di Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011 antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

Mengenai cek RM2 juta, Ibrahim berkata, ia ditandatanganinya dan seorang lagi pengarah syarikat, Wong Kai Wah sebelum Azli pergi ke bank, dengan membawa dua beg untuk mengisi wang yang akan ditunaikan.

"Setelah Azli menunaikan cek itu, beliau menyerahkan kedua-dua beg yang mengandungi wang berjumlah RM2 juta kepada Zarul di pejabatnya di Taman Desa, di sini, pada 18 Ogos 2017.

"Pengeluaran wang itu atas arahan daripada Zarul sendiri. Saya mengesahkan Zarul meminta wang itu untuk diserahkan kepada 'Datuk Seri G'. Penyerahan ini dalam pengetahuan saya," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 25 Julai ini.

Berita Harian X