Selasa, 28 Jun 2022 | 7:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tekanan pengurusan punca guru bersara awal

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu kenyataan pada 18 April lalu menganggarkan, lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini, jauh melebihi statistik Kementerian Pendidikan (KPM).

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding yang dikeluarkan KPM pada 9 November tahun lalu iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun sama.

Isu ini sangat mengejutkan apabila trend guru bersara awal kian meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2015, sebanyak 2,777 guru yang memilih untuk bersara awal, manakala tahun seterusnya iaitu 2016, angkanya meningkat kepada 3,591.

Trend ini menjadi lebih merisaukan apabila angka berkenaan terus meningkat kepada 4,360 permohonan persaraan awal pada 2021 iaitu bersamaan dengan 1.06 peratus jumlah keseluruhan guru.

Keluhan demi keluhan dapat dilihat melalui perkongsian beberapa guru di media sosial.

Antara keluhan yang dikongsikan adalah persoalan sistem pendidikan negara ditambah lagi tekanan kerja menyebabkan golongan pendidik lesu dan mendorong mereka untuk 'menarik diri' setelah berpuluh tahun berkhidmat sebagai guru.

Lebih menyedihkan, ada juga mendakwa terpaksa menipu dalam mengisi data seperti sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan pemansuhan peperiksaan.

Ada yang mendakwa terpaksa 'menipu' dalam memberi markah tahap penguasaan murid walaupun murid tidak tahu membaca selain menjadi mangsa pertindihan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akibatnya terpaksa menanggung kesalahan yang bukan daripada mereka sendiri.

Tekanan pandemik

Berkongsi luahan rasa punca memilih untuk bersara awal, seorang guru dari Jerantut, Pahang, Irdina Mohd, 53, mengakui tiada semangat untuk meneruskan perkhidmatan sebagai guru selepas mengalami lesu upaya akibat sistem pendidikan sewaktu pandemik.

Biarpun katanya, dia bukan tidak tahu mengendalikan peranti dan sistem dalam talian tetapi pengisian data lain yang perlu dilakukan terlalu membebankan dan tidak masuk akal.

"Kemuncaknya apabila guru terpaksa menanggung penipuan dengan menilai tidak telus hanya kerana perlu dapatkan data cantik untuk sekolah.

"Adakah itu satu keperluan yang perlu kami lakukan walaupun tahu kemampuan murid pada waktu sukar (pandemik) selama dua tahun. Saya cukup sedih dengan keadaan murid berdepan kesukaran sewaktu Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), tiba-tiba semua data perlu nampak 'baik' sahaja," katanya.

Beliau yang berkhidmat lebih 20 tahun sebagai guru Sejarah, melihat keputusannya menarik diri dengan bersara awal adalah pilihan terbaik walaupun pastinya jiwa pendidik masih utuh sehingga akhir hayatnya.

Katanya, biarpun memilih untuk bersara awal, beliau berharap sistem pendidikan negara dapat 'dipulihkan' dengan segera supaya tidak menjejaskan kesihatan mental warganya.

"Menjadi seorang pendidik bukanlah satu tanggungjawab mudah seperti yang dilihat. Tanggungjawab guru untuk mendidik semakin pudar. Pulihkan segera sistem ini.

"Beri peluang untuk guru mendidik bukannya menyeksakan jiwa raga mereka yang sering dituding jari jika murid tidak menjadi.

"Perlu ada sokongan yang kuat. Namun tidaklah saya katakan, tiada langsung usaha dijalankan KPM selama berkhidmat.

"Secara peribadi, saya merindui segala kenangan sepanjang bergelar pendidik. Cuma berharap kebajikan guru perlu dijadikan fokus utama dalam pembangunan pendidikan negara demi menjamin kualiti pembelajaran pelajar semasa," katanya.

Tidak menyalahkan pentadbiran sekolah, tetapi mengakui sistem KPM yang tidak tersusun sehingga mengabaikan kebajikan tugas guru, mendorong Tentera Gulang, 47, mengambil keputusan untuk bersara awal.

Katanya, penggunaan alat bantu pembelajaran seperti telefon pintar, komputer riba dan talian internet yang perlu digunakan dalam pembelajaran dalam talian menyukarkan semua proses ditambah lagi selama dua tahun negara berdepan dengan pandemik.

"Selain itu, pihak pengurusan sekolah memberi tekanan dengan pelbagai tugasan luar dari bidang kerja seorang guru.

"Banyak sistem yang diperkenalkan KPM bagi saya cukup menyusahkan dengan tugasan yang diberikan tidak menang tangan tanpa mengira waktu.

"Ada kala masa rehat juga ada arahan yang tidak sepatutnya perlu 'dilayan'," katanya yang berasal dari Kota Belud, Sabah.

Beralih bidang

Berkhidmat sebagai pendidik sejak tahun 2002, Tentera memberitahu dalam usia muda dan masih bertenaga, beliau memilih untuk bersara awal dan sudah tiba masanya untuk beralih bidang.

"Berdasarkan kelulusan, pengalaman dan minat dalam bidang perniagaan, saya yakin ia dapat memberi satu keyakinan serta kepuasan dalam diri.

"Tipulah jika saya katakan, tidak langsung tidak merindukan tugas pendidik. Saya sedih melepaskan profesion perguruan namun ia tidak mengubah nasib guru jika sistem pendidikan seperti ini berterusan.

"Jika hak guru untuk mendidik generasi masa depan tidak dijaga, maka akan lebih banyak pendidik memilih untuk menarik diri. Kita perlukan golongan guru yang berkualiti untuk membentuk generasi muda yang holistik dan sistemik," katanya.

Sementara itu, Pensyarah kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Wan Nurul Izza Wan Husin, berkata langkah segera perlu diambil pemegang taruh sistem pendidikan bagi mengurangkan bilangan guru bersara awal.

Katanya, pemerkasaan sistem sokongan emosi dan psikososial perlu dilakukan kerana sistem itu adalah sebuah persekitaran yang lebih kondusif dapat diwujudkan, sekali gus mengurangkan keadaan lesu upaya yang dialami oleh guru.

"Dari sudut psikologi, terutama teori keinginan untuk berhenti bekerja adalah pekerja tidak berpuas hati dengan pekerjaan semasa atau tidak mencapai kepuasan dalam pekerjaan, maka mereka akan mula berfikir untuk meninggalkan profesion itu," katanya.

Beliau berkata, terdapat banyak faktor mendorong kepada keputusan itu seperti tekanan di tempat kerja, beban tugas, persekitaran toksik, majikan dan juga pendapatan.

"Apa yang dilihat kini adalah pentingnya sokongan organisasi yang wajib memainkan peranan penting daripada segala aspek termasuk kesan emosi.

"Apabila pekerja berasakan kurang mendapat sokongan dan pengiktirafan dalam organisasi, maka, kecenderungan berhenti berkhidmat adalah lebih tinggi.

"Sama seperti guru, dengan kekangan yang terlalu membebankan mereka, keseronokan untuk mengajar tiada dan ditarik oleh sistem pendidikan sebegini," katanya.

Berita Harian X