Ahad, 26 Jun 2022 | 7:28pm

Mahu jadi contoh kepada masyarakat Orang Asli

KUALA NERUS: Mahu mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada masyarakat Orang Asli mendorong D Arisna, 36, menyambung pengajiannya ke Kolej Ketengah di Bandar Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.

Usaha ibu kepada empat anak itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia bukan sahaja berjaya memperoleh Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak tetapi turut menerima Anugerah Kecemerlangan Diploma Orang Asli pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Ke-3 Tahun 2022 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu di sini, hari ini.

Arisna berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli di kampung bekerja di kilang atau melakukan kerja kampung menyebabkan terdetik di hati untuk mencabar dirinya.

"Saya ambil peluang untuk sambung pelajaran walaupun sudah bekerja sebagai guru kerana saya rasa rugi sekiranya tidak memanfaatkan peluang yang ada," katanya yang berasal dari Tronoh, Perak.

Arisna yang juga anak keenam daripada 12 beradik turut mengakui berdepan pelbagai cabaran seperti yang biasa dialami pelajar lain.

"Saya menyambung pengajian jarak jauh (PJJ) pada 2018 dan keadaan memang mencabar kerana perlu membahagikan masa di antara tugas sebagai isteri, ibu dan guru TABIKA kemas.

"Mula-mula memang berulang-alik ketika cuti sekolah tetapi apabila COVID-19 melanda, kelas diadakan secara dalam talian.

"Kekangan saya ketika itu tentulah daripada segi capaian internet kerana tinggal di kawasan pedalaman dan hari ini, saya bangga kerana berjaya menamatkan pengajian," katanya yang berhasrat mahu menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda.

Terdahulu, majlis konvokesyen berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Seramai 648 graduan masing-masing menerima diploma dan sijil yang terdiri daripada 404 penuntut diploma dan 244 penuntut sijil.

Penerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, D Arisna, turut memperoleh Anugerah Kecemerlangan Diploma Orang Asli pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-3 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. NSTP/GHAZALI KORI
Penerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, D Arisna, turut memperoleh Anugerah Kecemerlangan Diploma Orang Asli pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-3 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X