Ahad, 26 Jun 2022 | 6:01pm

Pergorbanan ibu tiga anak demi segulung diploma

KUALA NERUS: Pergorbanan ibu kepada tiga anak menempuh perjalanan beratus kilometer dari Batu Pahat, Johor ke Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, untuk mengikuti kelas setiap kali musim persekolahan berbaloi apabila berjaya menggenggam segulung diploma yang diidamkan.

Ruziah Asura, 56, yang juga seorang guru taman didikan kanak-kanak (TADIKA) Kemas Al-Miha Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Ke-3 Tahun 2022 di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu di sini, hari ini.

Ruziah yang mengalami masalah saraf melahirkan rasa bersyukur apabila penat lelahnya berulang-alik sejak 2019 akhirnya membuahkan hasil.

"Walaupun sudah bekerja sebagai guru, terdetik di hati saya untuk pergi lebih jauh dan sebab itu, dengan dorongan keluarga dan rakan, saya menyambung pelajaran.

"Pada mulanya, segan juga mahu sambung belajar sebab sudah berusia selain memikirkan keluarga dan kesihatan diri tetapi itu semua saya tolak tepi.

"Menyebut tentang cabaran sepanjang pengajian, pada awalnya cabaran saya jarak yang jauh untuk ke kolej tetapi apabila pandemik COVID-19 melanda, kelas diadakan secara dalam talian.

"Memang susah mahu belajar secara dalam talian namun saya cekalkan untuk diri sendiri, selain tidak mahu menghampakan keluarga dan mereka yang memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya.

Terdahulu, majlis konvokesyen disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Seramai 648 graduan masing-masing menerima diploma dan sijil yang terdiri daripada 404 penuntut diploma dan 244 penuntut sijil.

Mahdzir berkata, Kolej Ketengah mampu dijadikan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi atau hub Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah inovasi berteknologi tinggi dan pembangunan teknikal saintifik.

"Kolej Ketengah juga mampu melahirkan graduan yang berpotensi tinggi dalam kebolehpasaran graduan yang kompeten dan dilengkapi dengan kemahiran teknoprenuer, kreatif, versatil, `hands-on' dan inovasi teknikal supaya menjadi pilihan utama majikan pada masa akan datang," katanya.

Graduan Diploma Pendidikan Kanak-Kanak, Ruziah Asura, 56, dan anaknya, Muhammad Syafiq pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-3 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini. NSTP/GHAZALI KORI
Graduan Diploma Pendidikan Kanak-Kanak, Ruziah Asura, 56, dan anaknya, Muhammad Syafiq pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-3 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini. NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X