Sabtu, 25 Jun 2022 | 9:22am

Pelajar cemerlang menabung untuk sambung pengajian

SERI ISKANDAR: "Saya terkedu bila dapat tahu mak yang sudah berhenti kerja kantin dua minggu lalu, kembali bekerja semula selepas saya dapat 7A.

"Mak dan ayah memang mahu saya sambung belajar," kata Muhammad Ikmal Mizi.

Muhammad Ikmal, 18, memperoleh 7A 2B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 berkata, ibunya, Zaliza Alang Adnan, 47, bekerja sebagai pembantu kantin sekolah, sejak lebih 10 tahun lalu untuk membantu ayah, Mizi Zakaria, 51, yang bekerja sebagai penghantar barang.

Katanya, dia yang bekerja sambilan di pasar raya, menyimpan wang gaji sebagai persediaan menyambung pengajiannya supaya tidak membebankan ibu bapa.

"Saya kasihan dengan mereka kerana tahu kerja mereka penat. Saya selalu nampak mak buat kerja membersih, mengemop lantai dan melayan murid beli makanan.

"Kami bukan orang senang. Sebab itu saya kumpul duit untuk beli barang keperluan harian dan untuk perbelanjaan lain," katanya ditemui pada majlis meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 di sini.

Muhammad Ikmal antara 94 pelajar mendapat keputusan 5A ke atas dan diraikan Ahli Dewan Undangan Negeri Bota yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Rahman Yaakob di Bota itu mengakui pengorbanan ibu bapanya bekerja tanpa lelah menyara dia dan dua abang serta seorang adik mendorongnya mencapai keputusan terbaik bagi menyambung pengajian di universiti.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, majlis itu sebagai penghargaan kepada mereka yang mencapai keputusan terbaik dalam SPM dan memberi sokongan untuk mereka meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Kita turut membawa wakil Yayasan Perak untuk memberi taklimat berkaitan bantuan pendidikan untuk membantu mereka," katanya.

Khairul Shahril (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Muhammad Ikmal (dua kiri) pada majlis meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 di Seri Iskandar. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Khairul Shahril (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Muhammad Ikmal (dua kiri) pada majlis meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 di Seri Iskandar. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X