Selasa, 21 Jun 2022 | 6:13pm
Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (kanan) menyampaikan Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) kepada Yogei Malar (kiri) sempena Istiadat Konvokesyen Ke-23 di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah. Foto NSTP/Ihsan UPSI
Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (kanan) menyampaikan Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) kepada Yogei Malar (kiri) sempena Istiadat Konvokesyen Ke-23 di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah. Foto NSTP/Ihsan UPSI

Berkerusi roda bukan penghalang genggam ijazah

TANJUNG MALIM: Fizikal cacat dan kehidupan seharian yang bergantung pada kerusi roda tidak menghalang seorang guru wanita menamatkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dekat sini.

Guru Sekolah Kebangsaan Sri Keledang, Hulu Bernam, Selangor, V Yogei Malar, 32, lumpuh separuh badan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama dua lagi rakannya terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh kira-kira enam tahun lalu.

Yogei Malar berkata, ketika itu beliau masih menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Hulu Kinta peringkat Ijazah Sarjana Muda dan lebih menyedihkan, kejadian terbabit berlaku pada hari lahirnya tanggal 13 Mei 2016.

Katanya, akibat kemalangan itu menyebabkan beliau lumpuh separuh badan, namun berjaya menamatkan pengajian di IPG meskipun pergerakannya terbatas menggunakan kerusi roda.

"Kejadian ngeri itu tidak pernah memadamkan semangat saya untuk terus sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi, lalu saya memohon melanjutkan pengajian peringkat sarjana di UPSI.

"Saya berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) di UPSI dalam tempoh yang ditetapkan oleh universiti iaitu dua tahun secara separuh masa," katanya dihubungi selepas Istiadat Konvokesyen Ke-23 di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, hari ini.

Lebih menggembirakan, detik bersejarah itu dikongsi dengan kedua ibu bapa iaitu R Vijayan, 67, dan R Janaki, 61, yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan yang beliau kecapi hari ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik berkata, akibat kejadian kemalangan terbabit ayahnya terpaksa berhenti menjual sayur kerana menjaga keperluan sehariannya.

"Sejak mula saya ditempatkan mengajar di sekolah ini iaitu bermula tahun 2019, setiap hari ibu bapa sayalah yang setia menghantar dan mengambil saya dari sekolah.

"Ketika saya sambung belajar di UPSI , mereka jugalah yang menghantar dan mengambil saya selama dua tahun iaitu pada setiap petang Jumaat dan hari Sabtu," katanya.

Beliau yang menetap bersama ibu bapanya di Taman Seroja, Slim River berkata, kejayaan yang beliau perolehi hari ini sebenarnya adalah kejayaan ibu bapanya yang berjaya memberi semangat dan sokongan kepada beliau selama ini.

"Saya bersyukur kerana dapat membuktikan bahawa kekurangan pada diri sebenarnya bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan dalam karier atau kehidupan.

"Buat masa ini, saya akan menumpukan kerjaya saya sebagai guru dan pada masa hadapan saya merancang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah juga di UPSI," katanya.

Berita Harian X