Selasa, 17 Mei 2022 | 10:30am

Guru cekal redah laut, belantara demi tugas

BAGI mereka yang bergelar guru, selagi ada murid untuk dididik, semua rintangan perlu diredah walaupun ada kala cabaran yang perlu dihadapi tidak pernah diduga.

Bagi guru Bahasa Melayu dan Matematik, Mohd Haiqal Abdul Hamid, 25, mengajar di Sekolah Kebangsaan Keniogan, Pulau Keniogan kira-kira satu jam perjalanan dengan bot laju dari Pekan Beluran sangat bermakna buatnya.

Mohd Haiqal berkata, Pekan Beluran terletak 235 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, manakala sekolah berkenaan diakses dengan menaiki bot laju merentasi Laut Sulu dan Sungai Labuk.

"Kalau guru baharu mahu ditempatkan ke sini, biasanya guru lama akan pesan bawa kipas mudah alih yang boleh dicaj semula kerana keadaan di sini sangat panas pada waktu siangnya.

"Pulau Keniogan berhadapan catuan elektrik setiap hari antara enam pagi hingga enam petang. Jadi kepanasan itu sebahagian cabaran dalam menunaikan amanah," katanya kepada BH.

Justeru, bagi Mohd Haiqal yang mula mengajar di sekolah berkenaan sejak 15 Februari tahun lalu sudah terbiasa bekerja dalam keadaan bermandi peluh.

Di pulau itu, bekalan elektrik hanya akan dihidupkan pada jam enam petang hingga enam pagi dan hanya pada waktu itulah Mohd Haiqal dan guru lain di sekolah berkenaan menyiapkan segala tugasan, mencetak tugasan murid, menghantar dan mengemaskini data secara dalam talian.

"Pernah juga bekalan elektrik terputus di pulau itu selama seminggu selepas tiang elektrik dilibas buaya. Peristiwa itu menyebabkan seluruh pulau terpaksa bergelap selama seminggu," katanya.

Selain mengajar Bahasa Melayu dan Matematik, Mohd Haiqal turut mengajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Pendidikan Seni Visual. Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan Bahasa Melayu dari Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak, berasal dari Kudat, 370km dari pekan Beluran.

Berkongsi pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di pulau itu, Mohd Haiqal berkata, perjalanan menyusuri Sungai Labuk sebelum merentasi perairan Laut Sulu mencabar kerana terpaksa mengharungi ombak besar yang bergelora, angin ribut dan serta hujan lebat disebabkan musim monsun.

"Rasa takut, penat dan mabuk laut padam serta merta bila melihat anak murid menanti di jeti dengan wajah penuh harapan," katanya.

Menurut Mohd Haiqal, ketiadaan bekalan air turut menjadi masalah utama memandangkan bekalan air paip tidak dapat disalurkan ke pulau berkenaan menyebabkan penduduk kampung hanya menggunakan air perigi dan air hujan sahaja.

Meskipun berdepan pelbagai halangan, tetapi sebagai pendidik, Mohd Haiqal berpegang kepada keutamaannya untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dalam mendidik anak bangsa.

"Saya sentiasa ingat pesanan ustaz iaitu sebagai guru kita perlu sentiasa mempunyai minat dengan kerjaya dan bersemangat. Perlu sentiasa ikhlas dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa," katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar, di Gerik, Perak, Mohamad Fakhrullah Ismail, pula berkongsi cerita mengenai insiden 'pertembungan' dengan gajah ketika sedang menonton televisyen di ruang tamu kediaman guru.

"Saya sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama rakan serumah dan kami dikejutkan dengan kemunculan seekor gajah jantan melalui tingkap rumah yang terbuka.

"Jarak antara gajah itu dengan saya hanyalah beberapa kaki sahaja dan ia adalah pengalaman yang paling diingati," katanya.

Mohamad Fakhrullah, 31, bercita-cita menjadi guru sejak kecil, mula mengajar di SK RPS Kemar yang menempatkan hampir 1,000 orang murid dari suku kaum Temiar, sejak enam tahun lalu.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera Dengan Pendidikan (Geografi) ini, mengajar di situ adalah takdirnya untuk berbakti di negeri sendiri.

"Saya memang berasal dari Gerik tetapi hajat di hati ingin merantau ke tempat orang tetapi tidak sangka rezeki di tempat sendiri," katanya.

Meskipun berasal dari daerah yang sama tetapi mustahil untuk beliau berulang alik dari sekolah yang terletak di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar ke kediamannya setiap hari.

Perjalanan ke sekolah memerlukannya memandu kenderaan sendiri dari Pekan Gerik ke Jeti Pengkalan Trojan sejauh 30 km dan kemudian menaiki bot yang disewa daripada penduduk kampung sejauh 49 km lagi untuk ke RPS Kemar.

Selepas itu, barulah perjalanan diteruskan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke sekolah. Semua 58 guru serta 11 kakitangan sokongan di SK RPS Kemar disediakan rumah penginapan dan akan menetap di situ sepanjang waktu persekolahan.

"Murid di sini sangat ketinggalan daripada aspek kemajuan teknologi. Mereka berminat belajar, tetapi kemudahan sangat terhad. Jadi, murid bergantung sepenuhnya kepada ilmu disampaikan guru.

"Jika kita bercerita mengenai masin air laut, mereka tahu masin air yang dibancuh dengan garam tetapi mereka tidak pernah sampai ke pantai untuk merasai masin air laut yang sebenar," kongsinya.

Katanya sebelum ini, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membawa cabaran yang lebih besar. Seminggu sekali pembahagian modul dibuat di pintu pagar sekolah mengikut garis panduan prosedur operasi standard yang ketat.

"Meskipun mengalami kesukaran memahami topik pelajaran serta hanya bergantung pada nota diselitkan dalam modul PdPR namun semangat mereka mendapatkan ilmu sangat mengesankan hati saya," katanya.

Sebagai guru, Mohamad Fakhrullah hanya ingin melihat anak didiknya berjaya hingga mampu mengubah sosio ekonomi mereka.

Berita Harian X