Jumaat, 8 April 2022 | 2:20pm
Majlis menandatangani MoU antara UniMAP dan Indra Ghandi Delhi Technical University for Women Indra yang berlangsung di Delhi, India. - Foto FB UniMAP
Majlis menandatangani MoU antara UniMAP dan Indra Ghandi Delhi Technical University for Women Indra yang berlangsung di Delhi, India. - Foto FB UniMAP

UniMAP jalin kerjasama dengan dua universiti di India

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua universiti di India, bermatlamat membangunkan penyelidikan berkualiti khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan sains data.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli, berkata jalinan kerjasama berkenaan membabitkan Amity University Uttar Pradesh (AUUP) dan Indra Ghandi Delhi Technical University for Women (IGDTUW).

"Sebelum ini UniMAP dan Aminity sudah bekerjasama sejak November 2020 menerusi Pakar AI UniMAP, Prof Madya Dr Syed Zulkarnain Syed Idrus yang dilantik Ahli Seumur Hidup Makmal Penyelidikan Rangkaian Universiti Amity (AUN).

"Namun MoU ini bukan sahaja berfokus kepada penerbitan penyelidikan tetapi juga akan diperluaskan bagi melahirkan pelajar pasca siswazah, penerbitan buku, perjanjian perlesenan, pendaftaran harta intelek dan pengetahuan baharu yang memberi manfaat kepada komuniti,"katanya.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Zaliman, bersama wakil Pendaftar dari AUUP, Dr B L Arya dan Naib Canselor IGDTUW, Prof Dr Amita Dev.

Majlis menandatangani MOU yang dilaksanakan di Delhi itu turut disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang sedang dalam rangka lawatan rasmi Kementerian Pengajian Tinggi ke India.

Turut hadir, Ketua Pengarah KPT, Prof Datuk Dr Husaini Omar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Republik India, Datuk Hidayat Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Zaliman berkata, kerjasama dengan IGDTUW turut membabitkan program pertukaran staf akademik, program mobiliti pelajar, penyeliaan, penyelidikan dan persidangan bersama.

"Antara kerjasama berkenaan ialah Program Ijazah Berkembar Pasca Siswazah melalui kaedah dwi-ijazah iaitu penganugerahan dua ijazah bagi kedua-dua institusi yang akan memberi satu nilai tambah kepada bakal graduan dengan memiliki dua ijazah daripada dua universiti dan negara berbeza," katanya.

Berita Harian X